Oleh Hajah Saemah Kepli
SERIA, 19 Feb – Hampir 100 orang menyertai Bengkel Penghayatan Ibadah Umrah yang diadakan dengan hasrat untuk meluaskan lagi ilmu pengetahuan pesertanya terutama sekali mereka yang bakal mengerjakan ibadah tersebut.
Bengkel yang berlangsung di Masjid Pekan Seria itu merupakan anjuran jawatankuasa (AJK) takmir dan Muslimah masjid tersebut dan taklimat telah disampaikan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid yang juga Ketua Imam Masjid Pekan Seria, Haji Aminorddin bin Haji Mohd Yussof.
Para peserta bengkel terdiri daripada kalangan ahli-ahli jawatankuasa takmir masjid dan Muslimah dari masjid-masjid Daerah Belait antaranya Masjid Zainab, Masjid Kampung Sungai Liang, Masjid Al-Mashhor Kampung Sungai Mau, Masjid Lorong Tiga Seria, Masjid RPN Kampung Pandan, Masjid Muhammad Jamalul Alam Kuala Belait dan peserta daripada sektor kerajaan dan orang awam.
Sepanjang bengkel tersebut, para peserta telah mempelajari tentang rukun-rukun umrah selain menyaksikan demonstrasi memasang kain ihram, tawaf dan ibadah sa’ie.
Ia diharapkan supaya dapat meluaskan lagi ilmu pengetahuan mereka dan akan memudahkan lagi urusan-urusan mengerjakan ibadah itu nanti.
Antara lain tujuan bengkel itu diadakan adalah untuk menyampaikan ilmu dan pendedahan tentang tatacara mengerjakan ibadah umrah daripada segi teori dan juga praktikal, selain bagi mendedahkan masyarakat untuk melibatkan diri dalam aktiviti takmir masjid.
Di samping itu juga bagi mengeratkan silaturahim di antara AJK takmir masjid, para peserta dan bakal jemaah umrah serta untuk memakmurkan masjid dengan aktiviti-aktiviti yang dikendalikan oleh takmir masjid.
Menurut Haji Aminorddin, ibadah umrah merupakan suatu ibadah yang sentiasa diimpikan oleh setiap Muslim, kerana dengan ibadah itu mereka berpeluang untuk mengunjungi Baitullah di Mekah Al-Mukarammah, berpeluang beribadat sebanyak-banyaknya di hadapan Kaabah di Masjidil Haram dan tidak ketinggalan mengunjungi Makam Rasulullah Salallahu Alaihi Wassalam di Masjid Nabawi di Madinah Al-Munawwarah, seterusnya menyaksikan sendiri sejarah-sejarah Islam di sana.
“Selain daripada persediaan dari segi kesihatan dan kewangan, seseorang yang hendak menunaikan ibadah tersebut hendaklah juga membuat persediaan yang cukup dari segi ilmu tentang selok-belok dan tatacara mengerjakannya, semoga dengan adanya bengkel ini para peserta akan dapat mengerjakan ibadah umrah nanti dengan lebih baik dan memperoleh umrah yang maqbulah (diterima Allah),” ujarnya.