Masjid RIPAHS muncul juara

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 DIS – Buat julung kalinya, Masjid Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha (RIPAHS), Kampung Rimba dengan kerjasama Pejabat Hal Ehwal Masjid Daerah Brunei dan Muara mengadakan Pertandingan Zainul Quran bagi Belia dan Dewasa Masjid Surau dan Balai Ibadat senegara.

Hadir selaku tetamu kehormat pada pertandingan berlangsung di Masjid RIPAHS itu ialah Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Amir Hisham bin Haji Masri yang turut menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang.

Kategori lelaki telah dijuarai oleh Kumpulan Masjid RIPAHS, manakala itu, Kumpulan Masjid RPN Kampung Pandan, Belait berada di tempat kedua dan Kumpulan Masjid Paduka Seri Begawan Sultan Omar Ali Saifuddien Kampung Katimahar di tempat ketiga.

Johan bagi kategori perempuan pula disandang oleh Kumpulan Masjid RIPAHS diikuti oleh Kumpulan Masjid Tanah Jambu di tempat kedua dan Kumpulan Masjid Duli Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Kampung Tamoi di tempat ketiga.

Di samping untuk dipertengahkan kepada orang ramai, pertandingan tersebut juga diadakan adalah untuk mencari pelapis generasi pembawa Zainul Quran bagi mengelaknya daripada hilang ditelan zaman sekaligus meningkatkan lagi ilmu pengetahuan para belia dan dewasa dalam persembahan Zainul Quran yang masih kurang sambutan.

Antara tujuan pertandingan adalah untuk menyahut seruan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah Negara Zikir.

Melalui acara ini juga dihasrat dapat memberi kefahaman mendalam lagi tentang lagu dan irama Zainul Quran.

Di samping mengalakkan orang ramai untuk suka ke masjid, pertandingan juga diharap dapat mengeratkan lagi silaturrahim dalam kalangan perserta selain mencungkil bakat yang tersedia ada dan terpandam.

Ia juga dihasratkan agar para peserta agar memberikan persaingan yang sihat dan menambah lagi minat bagi mendalami ilmu Zainul Quran sekaligus menjadikan masjid bukan sahaja tempat beribadah saja malahan tempat menimba ilmu.

Juara kumpulan lelaki ketika bergambar ramai bersama tetamu kehormat.