Oleh Lyna Mohamad
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 JULAI – Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit (SSBPAD) Kampung Madang dan Manggis mengadakan majlis korban tahunannya semalam.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis dan seterusnya menyempurnakan pengagihan daging korban ialah Penasihat Jawatankuasa Takmir Masjid, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong.
Acara bermula dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat dipimpin oleh imam masjid, Awang Mohd Khaizuran Amali bin Haji Kamsani diikuti oleh pengagihan daging-daging korban kepada 43 orang yang terdiri daripada keluarga asnaf dan anak yatim.
Majlis diteruskan dengan pengagihan daging korban kepada orang awam oleh tetamu kehormat dan Pemangku Ketua Kampung Manggis I dan Manggis II, Awang Omar bin Alli serta ahli jawatankuasa takmir masjid dengan diagihkan secara pandu lalu.
Sebanyak lapan ekor kerbau telah dikorbankan untuk majlis pada tahun ini.