Masjid, surau, balai ibadat kekal di Tahap 4

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 OGOS – Langkah-langkah pengurangan kawalan bagi masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara dikekalkan pada Tahap 4.

Sehubungan itu, Jabatan Hal Ehwal Masjid (JHEM) dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini menasihatkan orang ramai untuk sentiasa mengikuti panduan yang telah ditetapkan seperti mendaftar masuk menggunakan aplikasi BruHealth dengan mendapat kelulusan kod hijau dan kuning.

Selain itu, orang ramai juga dikehendaki memakai penutup mulut dan hidung semasa sembahyang fardu Jumaat, sementara penggunaannya semasa sembahyang fardu lima waktu adalah digalakkan.

Orang ramai juga dikehendaki membawa dan menggunakan tikar sembahyang sendiri (berukuran besar) dan menjarakan sejadah 1 kaki daripada sejadah yang lain, mengimbas kod QR, membuat pemeriksaan suhu badan, membersihkan tangan dengan menggunakan pensanitasi tangan dan mengelakkan daripada bersalam-salaman.

Kanak-kanak lelaki berumur 12 tahun ke atas pula adalah dibenarkan untuk menunaikan sembahyang fardu Jumaat, manakala bagi kanak-kanak dan perempuan adalah dibenarkan untuk menunaikan sembahyang fardu lima waktu.

Sementara aktiviti takmir masjid dan kelas Al-Quran dan muqaddam pula adalah dibenarkan sebagaimana garis panduan yang telah dikeluarkan.

Pegawai JHEM semasa solat fardu di salah sebuah masjid di ibu negara. Jabatan itu mengumumkan bahawa masjid, surau dan balai ibadat dikekalkan di Tahap 4, kelmarin.