Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 MAC – Pada menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Kementerian Hal Ehwal Ugama telah memaklumkan bahawa penutupan sementara masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadat di seluruh negara adalah diteruskan lagi selama seminggu mulai Selasa, 24 Mac hingga Isnin, 30 Mac nanti sebagai langkah berwaspada bagi menghindarkan bahaya (mudarat) yang diyakini akan menjejaskan kesejahteraan dan mengancam keselamatan nyawa.
Perkara tersebut adalah antara yang dijelaskan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman semasa Sidang Media bagi Status Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.
Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama menjelaskan bahawa berdasarkan nasihat dan maklumat serta keterangan Kementerian Kesihatan itu, Majlis Ugama Islam (MUIB) mendapati dan meyakini bahawa wabak Covid-19 yang sedang melanda negara pada masa ini adalah masih sangat berbahaya, menjejaskan kesejahteraan dan mengancam nyawa.
Di samping itu dengan berpandukan Fatwa Mufti Kerajaan bil. 02/2020 khasnya mengenai langkah menolak (menghindari) kerosakan atau kemudaratan itu lebih utama daripada mendatangi atau menghampiri kemaslahatan, maka MUIB menetapkan adalah menjadi kewajiban kepada semua pihak di negara ini untuk meneruskan langkah-langkah yang boleh mencegah penularan wabak COVID-19 yang sedang melanda negara kita pada masa ini daripada terus merebak.
“Dalam masa yang sama, laungan azan bagi menandakan waktu-waktu sembahyang adalah diteruskan seperti yang lazim dengan pegawai-pegawai masjid dikehendaki bertugas seperti biasa.


“Dan untuk menghidupkan suasana masjid sebagai syiar Islam dan umat Islam khasnya di kawasan-kawasan tadahannya, maka suara sembahyang waktu berjemaah pegawai-pegawai yang bertugas dengan zikir dan doanya serta bacaan ayat-ayat Al-Quran sebelum atau sesudah sembahyang itu adalah juga hendaklah dikumandangkan melalui pembesar suara, mengikut kesesuaiannya.
“Sebelum tempoh penutupan ini berakhir, penilaian akan dibuat dan kerja-kerja pembersihan masjid yang sedang berlangsung pada masa ini akan disegerakan penyelesaiannya dalam masa tempoh penutupan ini.
“Pembersihan-pembersihan ini akan diteruskan juga dengan melaksanakan panduan-panduan yang dibuat oleh Kementerian Kesihatan bagi memastikan masjid berkeadaan bersih dan selamat untuk digunakan semula,” jelas Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama lagi.
Pada masa yang sama, Yang Berhormat Pehin turut menyatakan penghargaan kepada orang ramai yang memberikan maklum balas dan cadangan-cadangan berupa buah fikiran yang baik.
“Mereka menyambut baik langkah penutupan sementara supaya dalam masa negara dilanda wabak Covid-19 dan orang ramai menghadapi bahaya dan sebahagiannya telah mengalami ancamannya yang sangat berbahaya, adalah wajar institusi agama khasnya masjid turut bahkan mengambil usaha mencontohkan semangat bekerjasama dan memelihara perpaduan dengan bukan sahaja mematuhi bahkan mengambil daya usaha, inisiatif melaksanakan langkah-langkah yang bertepatan dengan tujuan-tujuan menghindarkan bahaya seperti yang melanda kita semua pada masa ini.”
Selain itu, Yang Berhormat Pehin turut mengongsikan bahawa beberapa teks doa ringkas juga turut diedarkan dan dikongsikan kepada orang ramai dan disiarkan melalui pelbagai media dan juga disiarkan oleh radio dan televisyen yang boleh diikuti membacanya bersama dan diamalkan sendiri.
Di samping itu Yang Berhormat Pehin juga turut menyeru orang ramai agar dapat mengambil kesempatan dan mula melakukan atau meneruskan bahkan meningkatkan lagi amal ibadat khasnya sembahyang berjemaah dengan ahli keluarga serumah disertai juga dengan beristighfar memohon ampun kepada Allah SWT atas kesenghajaan atau keterlanjuran perbuatan yang menyalahi perintah dan laranganNya.