Masjid, surau dan balai ibadat dibuka secara berperingkat

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 MEI – Masjid-masjid, surau dan balai-balai ibadat di negara ini akan mula dibukakan pada Jumaat, 29 Mei yang akan dihadkan untuk sembahyang fardu Jumaat sahaja dan pembukaan selebihnya pula akan dilaksanakan secara berperingkat dalam empat tahap.

Tahap pertama akan berjalan selama dua minggu merangkumi tiga kali Jumaat, pada 29 Mei, 5 Jun dan 12 Jun.

Apabila tidak berlaku kes-kes jangkitan pada tempoh tersebut, perkiraan akan beralih kepada tahap kedua, termasuklah penggunaan untuk sembahyang fardu lima waktu dengan beberapa peraturan ditetapkan, antaranya masjid dibuka 10 minit sebelum azan dan ditutup 10 minit selepas sembahyang berjemaah dengan mematuhi garis panduan ditetapkan Kementerian Kesihatan.

Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman memperkenalkan tahap pembukaan masjid, surau balai-balai ibadat pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini.

Menurut Yang Berhormat Pehin lagi, setiap masjid juga akan menggunakan aplikasi BruHealth sebagai sistem kawalan bagi menentukan tahap kesihatan seseorang untuk bersembahyang di masjid.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama ketika berucap pada sidang media berkenaan. – Gambar oleh Syahmi Hassan

Tatacara penggunaannya telah pun diberigakan oleh Kementerian Kesihatan manakala pemberigaan seterusnya adalah Panduan Sembahyang Berjemaah di Masjid bagi Membendung Penularan Wabak COVID-19.

Yang Berhormat Pehin juga menjelaskan, bagi melancarkan kehadiran jemaah dan mengelak jangkitan, orang ramai dikehendaki berwuduk dari rumah, membawa sejadah sendiri dan memakai penutup mulut dan hidung.

Mana-mana orang yang berisiko tinggi telah ditentukan melalui aplikasi BruHealth, antaranya kanak-kanak berumur bawah 15 tahun manakala perempuan juga tidak dibenarkan pada tahap pertama, kedua dan ketiga.

“Keputusan untuk pembukaan bertahap ini telah dibincangkan pada persidangan Majlis Ugama Islam pada 16 Mei lalu dalam usaha memperhalusi persiapan-persiapan penggunaan masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadat, dengan mengambil kira ketiadaan kecemasan berbangkit dan berdasarkan panduan kesihatan dari Kementerian Kesihatan dan nasihat Hukum Syarak,” kata Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama.

Menurut Yang Berhormat Pehin lagi, keputusan majlis telah disembah dan diperkenankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Beliau turut melahirkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana mengizinkan kita membuka semula masjid bagi menunaikan ibadat sembahyang fardu Jumaat setelah beberapa Jumaat ia ditinggalkan berdasarkan hukum syarak iaitu ada uzur syarie.

“Dalam hubungan ini, marilah kita memahami keadaan sebenar yang telah berlaku.

Walaupun kita akan mula menggunakan semula masjid, kita hendaklah terus berwaspada untuk mengelakkan jangkitan yang tidak terkawal terutamanya dengan kita mematuhi peraturan-peraturan ke masjid dalam tahap pertama, kedua, ketiga dan keempat.

“Mudah-mudahan kitani akan dapat melalui tahap-tahap ini dengan selamatnya hinggalah masjid-masjid dibuka semula sepenuhnya seperti biasa,” tambahnya.