Masjidil haram Mekah batal penjarakan sosial

MEKAH, ARAB SAUDI, 17 OKT – Masjidil Haram di kota suci Mekah di Arab Saudi beroperasi dengan keupayaan penuh hari ini, dengan para jemaah bersolat rapat-rapat buat pertama kali semenjak pandemik COVID-19 bermula.

Pekerja membuang tanda di lantai yang memberikan panduan kepada orang ramai untuk penjarakan sosial di dalam dan di sekitar Masjidil Haram, yang dibina di sekeliling Kaabah, struktur kubik hitam tempat umat Islam di seluruh dunia beribadat.

“Ini sejajar dengan keputusan untuk meringankan langkah berjaga-jaga dan mengizinkan jemaah dan pengunjung ke Masjidil Haram pada kapasiti penuh,” lapor agensi berita Saudi.

Gambar dan rakaman pagi ini menunjukkan orang ramai beribadat bersebelahan, membuat barisan jemaah dalam menunaikan solat, buat pertama kali semenjak pandemik COVID-19 melanda pada tahun lalu.

Walaupun langkah berjaga-jaga penjarakan sosial telah dibatalkan, pihak berkuasa mengatakan pengunjung mesti divaksinasi sepenuhnya terhadap koronavirus dan harus terus memakai pelitup muka di kawasan masjid.

Masjidil Haram di kota suci Mekah di Arab Saudi beroperasi pada kapasiti penuh pada hari ini, buat pertama kali semenjak pandemik COVID-19 bermula. – AFP

Selain itu, Kaabah tetap ditutup dan tidak dibenarkan masuk untuk orang ramai.

Arab Saudi mengumumkan pada bulan Ogos, mereka akan menerima pengunjung yang sudah divaksin yang ingin melaksanakan ibadat haji dan umrah. Umrah dapat dilaksa-nakan pada bila-bila masa dan biasanya menarik berjuta-juta orang dari seluruh dunia, begitu juga dengan ibadat haji tahunan, yang mana umat Islam yang mempunyai kemampuan mesti melaksanakannya sekurang-kurangnya sekali seumur hidup mereka.

Pandemik COVID-19 telah menjejas teruk pelaksanaan ibadah haji, yang merupakan sumber pendapatan utama bagi kerajaan negara itu yang memperoleh AS$12 bilion setiap tahun.

Kerajaan mula mengeluarkan visa bagi membolehkan pengunjung asing mengerjakan ibadah haji tersebut untuk pertama kali pada tahun 2019 sebagai dorongan untuk memperbaiki imej global dan mempelbagaikan pendapatan.

Antara bulan September 2019 dan Mac 2020, mereka telah mengeluarkan sebanyak 400,000 visa – namun momentum tersebut terjejas akibat pandemik COVID-19 yang menyebabkan sempadan telah ditutup.

Namun kerajaan tersebut mula membukakan sempadan mereka kepada pengunjung asing yang sudah divaksin sepenuhnya sejak 1 Ogos.

Kerajaan Arab Saudi mengatakan pemakaian pelitup muka di tempat terbuka tidak lagi diwajibkan.

Arab Saudi telah mencatat lebih daripada 547,000 kes positif COVID-19 dan sebanyak 8,760 kes kematian. – AFP