Wednesday, April 24, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Maskot panda cetus fenomena di Olimpik Beijing

    BEIJING – Lelaki yang berada di sebalik maskot Olimpik Musim Sejuk Beijing berseloroh bahawa dia menyesal kerana tidak menyimpan beberapa lagi beruang panda yang comel hasil ciptaannya selepas panda berkenaan amat dicari-cari sebagai koleksi cenderahati di China.

    Bing Dwen Dwen, maskot rasmi Sukan Olimpik, telah menjadi barangan terbaharu yang mesti dimiliki bagi peminat yang teruja dengan barisan panjang dapat dilihat di kedai-kedai cenderahati Olimpik, dan ramai sanggup membayar harga lebih tinggi berbanding harga biasa hanya kerana ingin mendapatkan maskot berkenaan.

    Cao Xue, yang mengetuai pasukan mereka bentuk maskot, berkata dia berasa terkejut dengan kepopularan maskot tersebut.

    “Saya sangka beberapa orang mungkin mula membelinya selepas pembukaan Olimpik tetapi saya tidak menjangka ia begitu laris semalaman,” beritahunya kepada AFP. “Bing Dwen Dwen telah menjadi satu fenomena.”

    “Setiap seorang di antara kami hanya menyimpan satu Bing Dwen Dwen sebagai cenderahati, yang kami rasa amat kesal sekarang,” tambahnya.

    Pekerja meletakkan maskot Bing Dwen Dwen dalam kotak di sebuah kilang di Jinjiang, timur wilayah Fujian, China. – AFP

    Pekerja menghasilkan maskot Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022 Bing Dwen Dwen di sebuah kilang di Jinjiang, wilayah Fujian, China. – AFP

    Sementara nama rasmi maskot bermakna ‘anak ais’ dalam bahasa Mandarin, maskot berbentuk bulat yang popular itu lebih dikenali dalam bahasa percakapan sebagai ‘ais montel.’

    Bagaimanapun, kekurangan bekalan – berpunca daripada isu pengeluaran sempena Tahun Baharu Cina, yang disambut serentak dengan permulaan Sukan Olimpik – telah melihat pemborong menjual barang mainan itu dengan harga 10 kali lebih tinggi daripada harga asal pada 200 yuan (AS$30), menurut laporan.

    Polis juga telah mengingatkan tentang penipuan mengenai penjualan maskot Bing Dwen Dwen dengan penipu dalam talian mengaut keuntungan dan menghilangkan diri.

    Namun dengan penonton sebahagiannya dilarang daripada menyaksikan acara disebabkan sekatan COVID-19, memiliki ‘ais montel’ mungkin barangan terbaik yang boleh dijadikan kenangan sempena Sukan Beijing.

    Dalam tempoh bulan-bulan mereka bentuk maskot Sukan, terdapat sekurang-kurangnya 16 versi lukisan dari lantai ke siling yang ditampal di sekeliling pejabatnya, kata Gao, seorang profesor di Akademi Seni Halus Guangzhou.

    “Kami melukis puluhan ribu lakaran, menghabiskan tujuh bulan dalam proses mereka dan mengubahsuai, dan pernah sekali membuang idea panda kerana terdapat banyak gambar panda yang dicipta sebelum ini.

    “Namun pada akhirnya, pasukan reka bentuk dan Jawatankuasa Penganjur Olimpik Beijing berpendapat panda merupakan satu-satunya pilihan terbaik kami.”

    Rangka cetak terakhir menempatkan haiwan tersebut dalam gelembung yang kelihatan seperti ais, diberi inspirasi oleh kulit luar ‘tanghulu’, snek sejenis buah yang disalut dengan sirap popular di Beijing.

    Ia juga telah merangsang pengolahan kreatif termasuk ladu bertemakan Bing Dwen Dwen, kuih beras dan versi masakan sendiri, menurut video oleh pengguna dalam talian.

    Salah seorang peminat di luar stadium ikonik Sarang Burung malah mendakwa telah menghasilkan semula maskot dengan menggunakan rambut manusia.

    Penganjur menegaskan mereka kini sedang menambah bekalan, dan media negeri telah menyiarkan video yang menunjukkan pekerja bekerja lebih masa di kilang.

    “Apabila saya melihat warga Beijing beratur di daerah membeli-belah Wangfujing berjam-jam lamanya dalam cuaca dingin, saya memikirkan: mereka tidak mahu membeli barang mainan tidak bernyawa,” kata Cao.

    “Mereka menunggu berjam-jam lamanya dalam cuaca sejuk dalam harapan mereka dapat memegang sesuatu yang memberikan mereka perasaan sayang.

    “Menerusi Bing Dwen Dwen, saya ingin meluahkan perasaan sayang dan mesra.” – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekumpulan gempa bumi gegarkan Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Sekumpulan gempa bumi melanda Taiwan pada awal hari ini, yang paling kuat mempunyai magnitud 6.1, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat...