Wednesday, December 4, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    MASTERA ketengahkan isu wanita

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 OKT – Menelusuri Puitika Sastera Wanita dalam Novel Negara Serumpun menjadi fokus Siri Kuliah Kesusasteraan Bandingan (SKKB) Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA) ke-23, 2020 yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Malaysia, hari ini.

    Siri kuliah tahunan yang diadakan di DBP, Kuala Lumpur itu disertai secara dalam talian oleh negara pendiri MASTERA negara pemerhati atau dari luar negara yang mengkaji persuratan Melayu, termasuk Brunei Darussalam, Indonesia, Singapura, Filipina, Thailand dan Vietnam.

    Di Brunei Darussalam, kuliah yang diikuti menerusi Facebook Langsung DBP Malaysia, dipertontonkan di DBP Brunei Berakas dan dihadiri oleh Pemangku Pengarah DBP, Awang Suip bin Haji Abdul Wahab selaku pengerusi MASTERA Brunei Darussalam.

    Turut hadir ialah ahli-ahli MASTERA, ketua-ketua bahagian dan penolong-penolong ketua bahagian di DBP.

    Kuliah tersebut disampaikan oleh pembimbing kuliah, Profesor Madya Dr Norhayati binti Abdul Rahman yang merumuskan perbincangan tajuk kuliah berkenaan. Beliau merumuskan bahawa pengarang wanita di negara-negara serumpun telah berkarya bagi mengetengahkan isu-isu wanita yang digubah dalam acuan mereka sendiri.

    Awang Suip semasa menyaksikan siri kuliah yang diadakan di DBP Berakas.

    “Penggarapan cerita yang dipertalikan dengan model biologi dan budaya wanita (dua model yang dibincangkan) telah dibentuk dan dicernakan ke dalam novel, mengikut perspektif, kaedah dan cara masing-masing,” kongsi Profesor Madya Dr Norhayati.

    Bagaimanapun, menurutnya, tahap penerapan setiap unsur tersebut didapati berbeza mengikut isu dan negara. Misalnya, dari model biologi, didapati pengarang Indonesia dan Malaysia lebih berani dalam melukiskan aspek biologi wanita untuk menyampaikan mesej.

    Melalui model budaya, beliau mendapati kebanyakan pengarang negara serumpun memanfaatkannya dalam penulisan mereka. Namun tidak semua gagasan dalam model biologi dan budaya wanita dalam ginokritik sesuai dalam konteks penulisan novel wanita di negara serumpun.

    Menurut beliau, pada keseluruhannya, perbincangan memperlihatkan pembaharuan dalam pembentukan puitika penulisan wanita, namun penyimpangan tersebut tidak sama tahapnya bagi setiap negara serumpun.

    “Hal ini berkait rapat dengan latar sosiobudaya masyarakat Malaysia, Brunei Darussalam dan Singapura yang secara umumnya pengarang Melayu beragama Islam masih akur pada nilai-nilai moral, adat, tatasusila dan pegangan agama,” jelas beliau.

    Selain itu, beliau juga mendapati bahawa pengarang wanita di negara-negara serumpun mulai menyerlahkan gaya kepengarangan dalam penulisan masing-masing.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda