Masyarakat antarabangsa digesa tekan Myanmar

ANKARA, 24 JAN – Sebuah kumpulan yang memperjuang hak asasi golongan minoriti Muslim Rohingya menyambut baik keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang memerintahkan Myanmar untuk memulakan langkah pencegahan bagi melindungi Rohingya, lapor agensi berita Anadolu. 

Menyifatkan keputusan ICJ sebagai satu ‘kemenangan’, Rangkaian Hak Asasi Manusia Burma (BHRN) yang berpangkalan di London berkata adalah menjadi tanggungjawab komuniti antarabangsa untuk memastikan Myanmar, tentera dan Penasihat Negara Aung San Suu Kyi mematuhi perintah mahkamah itu.

Ketika membacakan keputusan mengenai kes yang difailkan bulan lalu oleh Gambia, Presiden ICJ Abdulqawi Ahmed Yusuf  berkata Myanmar diberi tempoh empat bulan untuk mengambil semua langkah pencegahan dan memastikan tiada kekerasan terhadap Rohingya di negara itu. – Bernama