Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 OKT – Dengan bermulanya Operasi Pulih yang berkuat kuasa malam ini, kerjasama semua lapisan masyarakat di negara ini adalah diperlukan untuk bersama-sama berganding bahu dengan pihak kerajaan bagi memastikan pengawalan penularan COVID-19 dengan lebih ketat lagi.
Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar juga berharap agar dalam tempoh beberapa hari akan datang, bilangan perjalanan orang ramai di luar akan berkurang.
“Sama-samalah kita berkorban dalam masa dua minggu ini untuk memastikan dengan cara ini kita dapat mengawal penularan dan memberi kerjasama dengan pihak-pihak agensi yang bertugas pada masa pengawalan ini,” Yang Berhormat Menteri Kesihatan menyeru semasa sidang media di Kementerian Kesihatan, hari ini.
Operasi Pulih yang akan dilaksanakan selama 14 hari sehingga 17 Oktober depan bertujuan untuk mengurangkan pergerakan dan risiko penularan jangkitan COVID-19 di mana orang ramai diperlukan untuk berada di tempat tinggal masing-masing pada setiap malam dari pukul 8 malam hingga jam 4 pagi
Sementara itu, pengecualian hanya diberikan atas urusan-urusan kecemasan dan mendesak atau menjalankan kerja sebagai petugas kritikal (critical frontline workers) sahaja.