Masyarakat Iran bergantung pada khidmat penghantaran

TEHRAN – Demi untuk mendapatkan sekitar AS$15 sehari, tukang penghantar memakai penutup mulut dan hidung dan sarung tangan melalui jalan-jalan di ibu kota Iran yang tercemar dengan wabak untuk menghantar barang-barang keperluan dan makanan bagi mereka yang berkurung di rumah daripada jangkitan virus.

Seperti di Timur Tengah yang luas, dari Dubai yang dipenuhi bangunan pencakar langit hingga lorong-lorong sempit di Kaherah, orang-orang Iran di bandar-bandar bergantung pada penghantaran untuk kebanyakan bekalan harian mereka di tengah-tengah salah satu wabak terburuk di dunia, wabak koronavirus.

Penghantaran itu, yang datang ketika umat Islam mempersiapkan diri dengan kedatangan bulan Ramadan, mengambil kepentingan baharu bagi mereka yang menerima barang dan menawarkan risiko baharu bagi penghantaran sebagai usaha mencari nafkah.

“Saya memerlukan sumber pendapatan dan saya sanggup menanggung semua risiko,” kata tukang penghantaran berusia 23 tahun, Yaghoub Moradi.

Iran merupakan negara Timur Tengah yang paling parah terkena wabak itu, di mana pada 23 April lalu mencatatkan angka kematian akibat virus itu pada 5,481 daripada lebih dari 87,000 kes yang disahkan. TV tempatan mengatakan terdapat 1,030 kes baharu dan jumlah kematian 90 lebih banyak berbanding pada 22 April lalu.

Gambar bertarikh 21 April 2020, menunjukkan seorang tukang penghantar, Saeed Vatanparast sedang membuat pembelian barangan yang dipesan oleh pelanggannya. – AP
Saeed tetap mementingkan perlindungan diri daripada jangkitan koronavirus ketika membuat penghantaran dengan memakai penutup mulut dan hidung. – AP
Peniaga di Iran kelihatan memakai penutup mulut dan hidung dan sarung tangan bagi mencegah penularan wabak koronavirus ketika melakukan proses jual beli bersama pelanggan. – Agensi

Iran sudah bergelut di bawah sekatan keras Amerika Syarikat yang menyekat penjualan minyak mentahnya ke luar negara, di mana langkah-langkah yang dikenakan setelah Presiden Donald Trump menarik Amerika dari perjanjian nuklear Tehran dengan kuasa-kuasa dunia pada tahun 2018. Itu telah menyebabkan peningkatan ketegangan selama sebulan yang terus berlanjutan melalui pandemik.

Kini, virus itu menyerang sektor perkhidmatan dan industri lain yang melonggarkan sekatan, kata penganalisis ekonomi Mehdiyar Mostafaei kepada media. Bagi negara yang sudah bergelut dengan pengangguran, itu memaksa banyak orang memulakan perkhidmatan teksi kelabu gipsi dan penghantaran atas permintaan, dengan menggunakan kenderaan mereka sendiri.

Shahin Daryani, seorang pemilik pasar raya, mengatakan kepada media bahawa banyak penjualannya diterima daripada pesanan telefon. Permintaan itu menyebabkan dia mengupah empat orang tukang penghantaran yang baharu.

“Pelanggan saya dan saya lebih suka tidak bertemu antara satu sama lain di pasar raya,” kata Daryani.

“Sekiranya mereka tetap tinggal di rumah, itu sesuatu yang baik, bahkan baik juga bagi saya. Tidak ada sebarang hubungan kontak, tidak ada wabak virus.”

Pada 20 April 2020, Iran telah membuka kembali lebuh raya antara bandar-bandar dan pusat membeli-belah utama untuk merangsang ekonominya yang tersekat, dengan mempertaruhkan penularan wabak koronavirus kini dalam keadaan yang terkawal, walaupun adanya kekhuatiran yang boleh menyebabkan gelombang jangkitan kedua. Ketakutan itu menyebabkan mereka untuk tetap berada di dalam rumah dan hanya bergantung pada perkhidmatan penghantaran.

Dengan begitu banyak yang tetap tinggal di rumah, perkhidmatan teksi internet Snapp, satu aplikasi Iran yang menyerupai Uber, mengalami penurunan permintaan.

“Sebelum Nowruz (Tahun Baru Parsi), sekitar 800,000 orang aktif (menggunakan) Snapp, tetapi virus itu memotong 70 persen dari mereka,” kata pengarah urusan Snapp, Jhubin Alaghband kepada media.

Namun, pandemik ini telah menunjukkan lonjakan permintaan untuk SnappFood, yang mengatur pengiriman barangan keperluan dapur. Pesanannya meningkat dua kali ganda menjadi kira-kira 20,000 sehari, kata Alaghband.

Tetapi risikonya tetap ada untuk tukang penghantaran seperti Saeed Vatanparast. Dia mengatakan bahawa dia khuatir ketika melakukan penghantaran kerana terdedah dengan jangkitan virus ketika mengendalikan wang pelanggan atau menggunakan mesin kad debit mudah alihnya untuk menerima pembayaran.

“Hanya Tuhan yang mengetahui jika mereka memiliki virus, saya boleh menularkannya dan saya boleh membawa virus itu ke rumah dan pelanggan lain,” katanya.

Sebilangan besar orang yang dijangkiti mengalami gejala ringan hingga sederhana. Tetapi virus ini boleh menyebabkan penyakit yang teruk dan mengakibatkan kematian, terutama di kalangan orang tua dan mereka yang mempunyai masalah kesihatan dan ia mudah berjangkit.

Penguasa ugama tertinggi Mesir, Grand Mufti Shawki Allam, pada 23 April lalu mengatakan bahawa umat Islam yang sihat mempunyai kewajiban agama untuk berpuasa pada bulan suci Ramadan walaupun terdapat wabak global.

“Setelah berunding dengan pakar perubatan di tengah-tengah wabak ini, kami menegaskan bahawa puasa tidak memberi kesan negatif kepada orang yang sihat,” kata Allam dalam sebuah video yang disiarkan di Facebook.

Allam berkata orang tua dan mereka yang menghidap masalah perubatan yang mendasar harus mengikuti nasihat doktor mereka mengenai apakah mereka dapat berpuasa ataupun tidak.

“Bagi pesakit koronavirus, mereka adalah yang paling layak untuk berbuka puasa,” katanya.

Kerajaan Mesir setakat (24 April 2020) mengesahkan lebih daripada 3,890 kes novel koronavirus, termasuk 287 kematian. Pemerintah melarang perhimpunan, termasuk solat berjemaah di masjid. Kabinet mengumumkan pada 23 April lalu bahawa perintah berkurung pada waktu malam akan bermula pada jam 9 malam di samping pukul 8 malam memandangkan pada hari Jumaat lalu, hari pertama bulan suci Ramadan, ketika umat Islam berpuasa dari subuh hingga terbenam matahari.

Selain itu, pusat membeli-belah di Mesir, yang hanya dibenarkan beroperasi pada hari bekerja sehingga jam 5 petang, dan juga akan dibuka pada hujung minggu. Tempoh waktu berkurung dikurangkan yang tidak membenarkan orang ramai mengadakan perjumpaan besar untuk berbuka puasa kecuali secara peribadi di rumah mereka masing-masing.

Emiriah Arab Bersatu mengumumkan secara beransur-ansur menghentikan penutupan berikutan virus pada malam Khamis lalu. Dubai mengatakan sistem Metro beroperasi semula pada hari Ahad lalu. Di Dubai, penutupan 24 jam akan dikurangkan mulai hari Jumaat lalu, kata pemerintah, walaupun perintah berkurung pada waktu malam hari masih dikuatkuasakan.

Di Lubnan, empat lagi pelarian yang tinggal di kem Palestin di timur negara itu didapati positif koronavirus pada hari Khamis lalu, saudara mereka, seorang wanita, telah positif pada hari sebelumnya, kata pegawai kesihatan Firass Abiad.

Pengumuman mengenai wanita Palestin itu mencetuskan beberapa ujian di kem tersebut. Pihak berkuasa di Lubnan, sebuah negara kecil yang berjumlah 5 juta orang penduduk, telah melaporkan 22 kematian dari 688 kes koronavirus. – AP