Masyarakat kampung perahu impikan rumah darat

PHNOM PENH – Menyusuri Sungai Mekong dengan menaiki bot persiaran ‘Angkor’ di waktu senja adalah pengalaman amat indah terutamanya bagi sesiapa sahaja yang pertama kali melihat dan merasai suasana itu.

Pemandangan kota metropolitan Phnom Penh, yang pesat membangun dengan latar belakang pelbagai bangunan pencakar langit, menjadi lebih menarik dengan adanya beberapa bangunan tinggalan penjajah yang jelas kelihatan dari Sungai Mekong.

Paling menyerlah ialah Royal Palace yang dibina pada 1917 dengan bumbung berwarna keemasan, Chaktomuk Conference Hall, Hotel Cambodiana serta kawasan tebingan Koh Pich yang menempatkan sebuah kompleks bangunan perniagaan baharu mirip reka bentuk ‘Arc de Triomphe’ di Paris.

Hakikatnya, pemandangan indah yang dinikmati itu hanyalah ‘bonus’ bagi 20 anggota rombongan program Kembara Kemanusiaan Kemboja 2018, ketika dalam perjalanan menuju ke Kampung Chapa Empov yang terletak di seberang Koh Pich – sebuah bandar baharu kira-kira tiga kilometer dari pusat bandar raya ini.

Program kembara itu dianjurkan Bank Rakyat dengan kerjasama Yayasan As-Syafie Malaysia.

Penduduk Kampong Chapa Empov yang merupakan ‘perkampungan’ atas air itu yang adalah perahu yang berukuran kira-kira 10 meter panjang dan dua meter lebar. –Bernama
Suasana penduduk kampung yang tinggal di dalam perahu ketika rombongan program Kembara Kemanusiaan Kemboja 2018 di Kampung Chapa Empov yang terletak di seberang Koh Pich – sebuah bandar baharu kira-kira tiga kilometer dari pusat bandar raya. –Bernama
Melihatkan raut wajah mereka, jelas masing-masing menyimpan pengalaman dan keperitan hidup yang terpaksa dilalui kesan daripada kekejaman Rejim Pol Pot yang pernah memerintah selama empat tahun dari 1975 hingga 1979. –Bernama

Masyarakat Sampan

Ketika bot persiaran yang dinaiki menghampiri satu kawasan yang terdapat banyak perahu di tebing sungai, anggota rombongan agak terkejut kerana tidak menyangka bahawa itulah destinasinya.

Kami akan menyantuni penduduk Kampung Chapa Empov yang merupakan ‘perkampungan’ atas air itu.

Semakin menghampiri perkampungan air itu, kelihatan golongan ibu sibuk memasak hidangan malam, di atas perahu yang berukuran kira-kira 10 meter panjang dan dua meter lebar. Golongan bapa pula bersiap sedia untuk menunaikan solat maghrib berjemaah di Masjid Al Ilm – masjid sampan berukuran 10 meter panjang dan 10 meter lebar.

Rutin harian penduduk perkampungan itu, yang majoritinya kalangan masyarakat Cham beragama Islam, adalah siang mencari rezeki dengan menangkap ikan di sungai dan sebelah malam pula masing-masing berada di sekitar masjid itu. Bayangkanlah mereka menjalani kehidupan begitu sejak kira-kira 40 tahun lalu.

Melihatkan raut wajah mereka, jelas masing-masing menyimpan pengalaman dan keperitan hidup yang terpaksa dilalui kesan daripada kekejaman rejim Pol Pot yang pernah memerintah selama empat tahun dari 1975 hingga 1979.

Ketika itu, kira-kira dua juta rakyat Kemboja dalam kalangan guru, peguam, doktor, wartawan, ahli agama atau sesiapa saja yang tapak tangannya licin akan dianggap sebagai golongan intelek.

Maka, mereka diseksa dan dibunuh, ada yang mati kebuluran manakala yang terselamat pula mengalami kecacatan fizikal dan menderita serta terpaksa lari meninggalkan kampung halaman masing-masing.

Takut Dibunuh

Tok Adam, ketua Hal Ehwal Orang Islam yang juga digelar sebagai Hakim, mengakui bahawa penyeksaan dan penderitaan lalu masih dirasai hingga ke hari ini kerana masyarakat Islam Cham yang kini tinggal di Kampung Chapa Empov juga tidak terkecuali daripada kekejaman rejim Pol Pot.

“Kami dihalau dari tanah dan kampung di Kampung Cham di daerah Krong dan beberapa lagi wilayah berdekatan, kebanyakan kami terpaksa melarikan diri kerana takut dibunuh.

“Kerana tidak ada pilihan. Kami lari ke Sungai Mekong ini dan tinggal di atas perahu…inilah kampung kami sejak 1979,” katanya ketika ditemui Bernama di sini.

Pada masa ini, terdapat kira-kira 190 keluarga masyarakat Cham beragama Islam yang masih tinggal dalam rumah perahu di kampung terapung itu.

Tok Adam berkata walaupun telah 40 tahun tinggal dalam rumah perahu, namun tetap sukar menjalani kehidupan dan kebanyakan masyarakat di situ memang mempunyai impian memiliki rumah dan kampung di darat.

Sebagai nelayan miskin yang bergantung pada hasil sungai, mereka tidak mampu membeli tanah untuk tempat tinggal apatah lagi membina kampung yang baharu untuk masyarakat Cham yang tinggal dalam perahu.

Menurutnya penduduk yang tinggal dalam perahu itu selama ini bergantung kepada simpati pemilik tanah di tebing sungai yang membenarkan mereka berlabuh di situ.

“Kami memang tidak mahu selamanya menjadi penghuni rumah perahu, ada kalangan generasi muda yang tidak lagi bersama kami kerana mencari dan membina kehidupan baharu di darat.

“Memang susah mencari rezeki di sungai terutamanya sekarang ini, hasil tangkapan ikan semakin berkurangan dan ada ketikanya kami terpaksa bekerja sebagai buruh kasar di darat untuk menampung keperluan keluarga,” katanya.

Peluang Pendidikan

Sementara itu, Pengerusi Yayasan As-Syafie Malaysia Mohd Zamerey Abdul Razak yang menyertai rombongan itu menasihati penduduk Islam Cham di Kampung Chapa Empov supaya memberi tumpuan kepada pendidikan anak-anak jika mahu keluar daripada kepompong kemiskinan.

“Kita tidak boleh beri mereka ikan, kita kena berikan pancing iaitu ilmu kepada mereka agar dapat mengubah nasib pada masa depan dan akhirnya mampu berdikari.

“Sebab itulah kami dengan beberapa badan korporat seperti Bank Rakyat serta beberapa badan bukan kerajaan memberi fokus kepada pembangunan pendidikan dan akademik anak-anak masyarakat Islam di Kemboja,” katanya kepada Bernama.

Beliau memberi contoh pembinaan Maahad Imam Syafie di Wilayah Kampot, yang merupakan antara usaha untuk memberi peluang kepada anak-anak masyarakat Islam Cham di Kampung Chapa Empov itu mendapat pendidikan akademik yang lebih baik. Maahad itu terletak kira-kira 160 kilometer dari sini.

“Jika boleh, kita bantu anak-anak di kampung (Kampung Chapa Empov) untuk melanjutkan pendidikan di Maahad Imam Syafie secara percuma selepas melalui beberapa ujian khas dan tamat sekolah tahun enam,” katanya.

Ketika ini, terdapat 60 pelajar iaitu 30 lelaki dan 30 perempuan yang mendaftar untuk pengambilan baharu di Maahad Imam Syafie itu.

Maahad itu, yang kini mempunyai 180 pelajar, menyediakan pendidikan akademik (mengikut sukatan pelajaran Kementerian Pendidikan Kemboja) dan agama pula mengikut Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) untuk pelajar berumur 13 hingga 19 tahun bagi Tingkatan 1 hingga 6.

Matlamat Yayasan As-Syafie Malaysia adalah untuk melahirkan anak-anak Islam Cham yang menjadi golongan profesional selain menjadi seorang Islam yang beretika jika ingin keluar daripada kepompong kemiskinan.

“Mereka memerlukan ilmu dunia dan akhirat,” tegas Mohd Zamerey. – Bernama