Masyarakat mainkan peranan bantu banteras jenayah rasuah

Oleh Salawati Haji Yahya

Gambar serahan BMR

Rasuah adalah satu jenayah global yang telah lama wujud yang memberi impak negatif kepada sesebuah negara.

Pembangunan negara yang terjejas, ekonomi lumpuh, kemiskinan dan ketidakadilan menjadi isu sosial, tidak telus dalam pentadbiran dan peningkatan aktiviti jenayah seperti penyeludupan adalah antara kesan akibat jenayah rasuah.

Hari Anti Rasuah Antarabangsa yang disambut setiap tahun pada 9 Disember adalah bagi memperingati tarikh deklarasi Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Menentang Rasuah (UNCAC) yang mana tarikh ini sangat penting kerana ia menandakan pencapaian negara-negara ahli dalam perlaksanaan undang-undang antarabangsa pertama menentang rasuah.

Penerimaan UNCAC sebagai undang-undang global memerangi rasuah hingga September 2021, sebanyak 188 buah negara termasuk Negara Brunei Darussalam telah menjadi negara ahli kepada konvensyen tersebut. Negara Brunei Darussalam telah menandatangani konvensyen berkenaan pada 11 Disember 2003 bersama 95 buah negara lain di Merida, Mexico dan pada 2 Disember 2008, Negara Brunei Darussalam telah meratifikasikannya.

Objektif Sambutan Hari Anti Rasuah Antarabangsa ini antara lain untuk meningkatkan kesedaran mengenai gejala jenayah rasuah dan peranan konvensyen dalam menentang dan mencegah rasuah. Tema sambutan tahun ini, Hak Awda, Peranan Awda: Katakan Tidak Pada Rasuah.

Biro Mencegah Rasuah merupakan pengerusi kepada Mesyuarat Ketua-ketua Agensi Anti-Rasuah ASEAN-PAC kali ke-17 yang diadakan pada 30 November 2021 secara maya.
Bangunan Ibu Pejabat BMR, yang terletak di Jalan Lapangan Terbang Lama Berakas.

Tema ini menekankan hak dan peranan serta tanggungjawab setiap individu termasuk kerajaan, penjawat awam, penguatkuasa undang-undang, wakil media, sektor swasta, masyarakat sivil, para akademia, masyarakat dan belia dalam sama-sama membanteras jenayah rasuah serta menegakkan integriti.

Melaksanakan peranan tidak kepada rasuah

Jenayah rasuah memang terbukti menjejaskan masyarakat. Dengan mencegah rasuah, pembangunan negara ke arah ekonomi dan politik yang stabil, keselamatan dan kesejahteraan masyarakat dapat dicapai.

Ke arah usaha membendung, membanteras dan mencegah rasuah, semua masyarakat perlu berganding bahu dan memainkan peranan masing-masing. Masyarakat dari pelbagai latar belakang dan umur mampu dan boleh membantu kerajaan dalam menentang rasuah.

Usaha pencegahan dan menentang rasuah juga perlu dilaratkan kepada penyediaan platform atau media, di mana orang ramai boleh memainkan peranan mereka dalam menyalurkan sebarang maklumat dan informasi tentang jenayah rasuah. Di samping itu, UNCAC turut menekankan tanggungjawab kerajaan untuk menyediakan polisi whistle blower protection yang berkesan bagi melindungi pelapor dan langkah ini juga menyumbang ke arah institusi yang efektif, bertanggungjawab, telus, berintegriti dan adil.

Peranan UNCAC

UNCAC merupakan satu instrumen anti rasuah antarabangsa yang sah di mana ia menyediakan peluang unik dalam memberikan tindak balas global pada satu masalah global. Konvensyen ini pertama kali diterima pakai oleh Perhimpunan Agung PBB pada Disember 2003 di Merida, Mexico dan ia juga adalah satu rangka kerja global yang pertama untuk menyelaraskan usaha-usaha anti rasuah antarabangsa.

Sebanyak 188 negara telah menjadi ahli kepada UNCAC sejak konvensyen ini mula berkuat kuasa pada Disember 2005 dan sehingga September 2021. Konvensyen ini merupakan satu perjanjian yang luar biasa bukan saja dari segi pencapaian global tapi juga mempunyai peruntukan yang luas dan terperinci. Antara peruntukan dalam konvensyen ini menekankan pentingnya negara-negara anggota mewujudkan badan anti rasuah untuk melaksanakan tindakan punitif dan langkah-langkah pencegahan dalam memerangi rasuah.

Komitmen negara dalam usaha menentang rasuah.

Komitmen Negara Brunei Darussalam dalam usaha menentang rasuah dapat dilihat melalui titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa Pembukaan Rasmi Persidangan Majlis Mesyuarat Negara kali ke-19 pada 12 Disember 1981.

“Beta dengan setegas-tegasnya menekankan bahawa sikap jujur dan amanah itu hendaklah dipupuk berlandaskan ajaran-ajaran agama Islam, yakni, Beta sama sekali menegah pegawai-pegawai dalam kerajaan Beta mengamalkan apa jua bentuk corruption atau Rasuah. Insya-Allah, Beta akan mengambil tindakan tegas bagi mencegah sebarang rupa bentuk rasuah di kalangan pegawai-pegawai di dalam kerajaan Beta.”

Dalam titah Baginda itu, jelas memperlihatkan hasrat dan komitmen negara dalam menentang rasuah di mana Baginda menekankan sikap nilai-nilai murni yang perlu ada pada setiap pegawai dan kakitangan kerajaan. Baginda menegah apa jua bentuk rasuah serta tindakan tegas akan diambil mengenainya. Komitmen negara dalam menentang rasuah adalah sentiasa berterusan dan dapat dilihat melalui beberapa titah Baginda.

Penubuhan BMR

Biro Mencegah Rasuah (BMR) ditubuhkan pada 1 Februari 1982 selepas penggubalan Perintah Darurat (Pencegahan Rasuah), 1981 pada 1 Januari 1982. BMR adalah sebuah agensi penguatkuasa undang-undang yang bertanggungjawab dalam menangani kesalahan rasuah di bawah Akta Pencegahan Rasuah, Penggal 131 di Negara Brunei Darussalam.

Apabila Negara Brunei Darussalam mencapai kemerdekaan pada tahun 1984, Perintah Darurat Pencegahan Rasuah telah ditukar kepada Akta Pencegahan Rasuah, Penggal 131. Penubuhan BMR ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan amat mengambil berat dan serius tentang jenayah rasuah agar tidak berleluasa di Negara Brunei Darussalam.

Fungsi BMR

BMR memegang tanggungjawab yang dimandatkan oleh kerajaan melalui dua fungsi iaitu Penyiasatan dan Pencegahan di bawah Bab 4A Akta Pencegahan Rasuah Penggal 131.

Selaras dengan Bab 4A (f) Akta Pencegahan Rasuah, Penggal 131 selain daripada menjalankan tugas penyiasatan, pegawai BMR juga diberi mandat untuk menjalankan tugas pencegahan dan pendidikan pencegahan rasuah.

Dalam usaha untuk menyebarluaskan dan meningkatkan kesedaran serta kefahaman orang ramai akan bahaya jenayah rasuah dengan berkesan, BMR telah melaksanakan pelbagai inisiatif dan pendekatan yang meliputi semua golongan masyarakat; tahap umur dan sektor pekerjaan.

Taklimat Pencegahan Rasuah merupakan salah satu pendekatan yang dilaksanakan kepada orang ramai sama ada yang bekerja dengan sektor awam mahupun swasta serta badan awam. Manakala bagi institusi pendidikan pula, BMR mengambil pendekatan dengan memperkenalkan Pendidikan Pencegahan Rasuah pada tahun 2006.

Pendidikan Pencegahan Rasuah ini merangkumi semua tahap pengajian iaitu sekolah rendah, menengah dan institusi pengajian tinggi. Selain daripada menyampaikan taklimat dan pendidikan pencegahan rasuah, BMR juga telah membukakan pelbagai peraduan untuk penyertaan orang ramai dengan objektif bagi melibatkan penyertaan orang ramai dalam sama-sama membanteras rasuah.

Peranan orang ramai

Tugas membanteras dan mencegah rasuah ini memang bukanlah satu tugas yang mudah dan ianya sangat mencabar tapi ianya bukanlah penghalang kepada orang ramai untuk bersama-sama BMR dalam membanteras dan mencegah rasuah. BMR percaya bahawa dengan adanya kerjasama dan penglibatan orang ramai, ianya boleh membantu perlaksanaan tugas membanteras dan mencegah rasuah dengan lebih berkesan lagi.

Dalam hal ini, setiap golongan masyarakat atau sektor di negara ini boleh memainkan peranan masing-masing dalam membantu BMR membanteras dan mencegah rasuah.

Sempena dengan tema Hari Anti Rasuah Antarabangsa 2021, orang ramai diseru untuk sama-sama membanteras rasuah di negara ini dengan menjalan kan peranan sebagai rakyat yang mendukung hasrat kerajaan dalam menjadikan Negara Brunei Darussalam sebuah negara yang bebas daripada rasuah dengan mengamalkan budaya kerja berintegriti, mematuhi peraturan dan undang-undang, tidak terlibat dengan rasuah dan melaporkan rasuah.