Masyarakat mula lalai dengan COVID -19

Oleh Sakini Mohd Said

KUALA LUMPUR – Rakan penulis berhasrat mengunjungi negeri yang terkenal dengan panggilan Cik Siti Wan Kembang baru-baru ini, namun bukanlah sekadar untuk bersiar-siar melawat destinasi menarik mahupun menikmati pelbagai menu lazat negeri itu, tetapi lebih daripada itu iaitu ingin membeli emas.

Kata sahabat penulis, Marni Mohd, 37, koleksi barang kemas negeri itu bukan sahaja popular dalam kalangan peminat produk itu di Kelantan tetapi juga negeri lain.

Tumpuannya pastilah di Pasar Besar Siti Khadijah, destinasi membeli-belah popular di pusat bandar negeri itu yang menghimpunkan pelbagai jenis produk bukan sahaja makanan, pakaian bahkan deretan kedai emas.

Jelas penulis, boleh dikatakan ada lebih lima buah kedai emas di tingkat bawah pasar berkenaan yang berdekatan antara satu sama lain, sekali gus memudahkan penggemar barangan kemas seperti rakan penulis untuk membuat perbandingan harga serta memilih mana yang berkenan di hati.

Biarpun demikian, menurut penulis hasrat rakannya itu terbantut sebaik berada betul-betul berhadapan kedai emas pasar berkenaan.

Meskipun orang ramai mematuhi arahan memakai penutup mulut dan hidung namun tidak mengamalkan penjarakan sosial. – Bernama
Sesetenagh masyarakat merasakan situasinya seolah-olah sudah ’terselamat’ daripada COVID-19 apabila makan dengan penuh gembira, sembang berjam-jam lamanya di kedai makan dan tiadanya jarak sosial antara satu sama lain. – Bernama
Warga kota diwajibkan memeriksa suhu badan dan menggunakan penutup mulut dan hidung mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. – Bernama

Hal ini kerana kebanyakan kedai emas di sana penuh dengan wanita sehinggakan tidak menang tangan pemilik kedai melayan. Para pelanggan berhimpit-himpit satu sama lain sedangkan unit kedai tidak sebesar mana pun. Malah pemakaian penutup mulut dan hidung serta jarak satu meter diabaikan. Sedangkan pada ketika itu Malaysia masih di bawah perintah PKPP (Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan).

Kongsi rakan penulis, memang tidak dinafikan kedai emas di seluruh negara ketika ini menjadi tumpuan peminat barangan itu untuk mendapatkan koleksi terbaharu setelah lebih dua bulan ditutup ekoran pelaksanaan PKP sehingga menyebabkan banyak kedai emas mengalami kekurangan stok.

Tambah rakan penulis situasi ini jauh berbeza dengan kebanyakan peniaga lain yang terpaksa gulung tikar akibat COVID-19 dan menurut satu laporan akhbar, jualan emas pada bulan Mei dan Jun lepas dalam kalangan lebih 1,500 usahawan adalah dianggarkan mencecah kira-kira RM1 bilion.

Bagaimanapun, respons positif yang menggembirakan perusahaan ini telah membuatkan ada antara mereka mula ‘lupa’ akan kewajipan mematuhi SOP yang bertujuan memutuskan rantaian  penularan wabak berkenaan.

“Semua dah lupa SOP, pemilik, pekerja kedai emas dan pelanggan. Tidak ada seorang pun pekerja jaga di depan kedai, terhadkan jumlah pelanggan kerana semua sibuk sangat layan pembeli. ‘Hand sanitiser’ (cecair pembasmi kuman) dan bacaan suhu memang langsung tiadalah bila dah macam itu,” kata rakan penulis.

Hakikatnya, isu pelanggaran atau rakyat semakin alpa untuk mematuhi SOP ditetapkan menjadi polemik hangat diperkatakan sejak kebelakangan ini berikutan berlakunya trend peningkatan kes positif COVID-19 terutamanya yang membabitkan kes penularan tempatan serta kewujudan beberapa kluster baharu. Ini memandangkan kes positif wabak itu yang sebelum ini satu digit kembali kepada dua digit membimbangkan kerajaan malah Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas mengenai perkembangan terkini PKPP Isnin lepas (20 Julai) turut menzahirkan perkara sama.

Bagaimanapun, situasi terbaharu pada 27 Julai menunjukkan jumlah kes positif COVID-19 kembali mencatatkan satu angka, iaitu tujuh kes selepas kali terakhir mencatatkan satu angka pada 23 Julai, namun itu bukanlah tanda kita sudah boleh kembali selesa.

Jelas penulis lagi, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media sebelum ini turut menyatakan gelombang ketiga pandemik virus itu bakal melanda Malaysia sekiranya rakyat terus alpa daripada mematuhi SOP ditetapkan kerajaan seperti pemakaian pelitup separuh muka dan jarak sosial.

Dalam polemik ini, sama ada kita mahu berdolak-dalik mahupun sebagainya, hakikatnya, peningkatan jumlah kes positif COVID-19 adalah jelas berpunca daripada sikap masyarakat sendiri yang semakin ‘selesa’ ke sana ke sini tanpa adanya kawalan kendiri seolah-olah negara sudah bebas sepenuhnya daripada wabak itu.

Malah, bukan sukar untuk melihat senario ketidakpatuhan SOP dalam kalangan masyarakat sejurus kelonggaran diberikan kerajaan kepada hampir semua sektor sejak PKPP dilaksanakan 10 Jun lepas.

Menurut penulis, perkara ini bukan hanya terjadi pada kisah rakannya di kedai emas tetapi hampir kebanyakan tempat yang saya pergi. Paling mudah dilihat adalah kedai makan dan tidak kiralah berstatus gerai mahupun restoran, kebanyakannya hampir sama. Situasinya seolah-olah sudah ’terselamat’ daripada wabak itu apabila makan dengan penuh gembira, sembang berjam-jam lamanya di kedai makan dan tiadanya jarak sosial antara satu sama lain.

Jelas penulis memang ada sesetengah masyarakat yang mengikuti SOP dengan mencatatkan nama pelanggan atau memastikan mereka menggunakan aplikasi MySejahtera Check-In mahupun SELangkah untuk mendaftar masuk, ambil suhu badan dan menyediakan cecair pembasmi kuman (biasanya di restoran).

Akan tetapi, apabila meninjau di bahagian dalam, kebanyakannya boleh dikatakan menjamu selera berdekatan satu sama lain dan tidak mengendahkan tanda ‘X’ yang ditetapkan untuk adanya jarak sosial.

Malah, ada pula yang sekadar meletakkan buku catatan nama pelanggan atau poster kod QR dan alat bacaan suhu di depan pintu premis tanpa adanya kawalan daripada pekerja, membuatkan pelanggan mengambil sendiri suhu badan dan ini antara banyak kali yang pernah dilalui penulis di kebanyakan premis sekitar Lembah Klang.

Menurut penulis apa yang membimbangkan adalah sekiranya yang memasuki restoran itu mempunyai suhu badan lebih 37.5, mempunyai gejala COVID-19 dengan selamba kerana tidak ada pemantauan daripada pihak premis sekali gus memungkinkan penularan wabak berkenaan.

Tambahnya lagi mungkin ada memandang remeh tetapi jangan kerana negara sebelum ini telah mencatatkan kluster ‘Restoran Kuala Lumpur’ pada 19 Julai lepas yang dikesan di sebuah restoran di Brickfield sekali gus jelas menunjukkan keselesaan dirasai ketika menjamu selera sebenarnya turut berisiko mengundang padah.

Mungkin inilah dikatakan ‘kealpaan’, apabila kita mula menganggap pandemik itu sudah berakhir hingga tidak mengendahkan kepentingan jarak sosial serta pemakaian mask.

Justeru, ada kewajarannya apabila kerajaan bersetuju secara dasar untuk mengetatkan semula SOP berkaitan PKP yang telah dilonggarkan di bawah pelaksanaan PKPP bagi mengingatkan kembali masyarakat bahawa mereka masih lagi tertakluk di bawah undang-undang sekiranya gagal mematuhi SOP ditetapkan.– Bernama