THA PYAY TAW, Myanmar – Setiap hari sebelum matahari terbit, beberapa orang nelayan akan berkayuh di Bay of Bengal dengan menggunakan rakit sementara yang dibuat daripada tong plastik, buluh dan tali.
Mereka ditegah daripada menggunakan perahu mereka sejak tiga bulan lalu oleh pihak berkuasa Myanmar yang mengatakan mereka cuba untuk menghalang pemberontak masuk atau keluar dari negara itu melalui laut. Undang-undang itu merupakan satu daripada kempen di negeri Rakhine, tempat kediaman penduduk Islam, untuk membanteras pemberontakan. Pihak berkuasa di Rakhine dikatakan menyalahgunakan kuasa mereka di sana.
Kerana terdesak untuk memberi makan keluarga mereka, nelayan-nelayan Rohingya di persisiran pantai cuba untuk mengelak undang-undang itu dengan menggunakan rakit yang dibuat dengan tidak teratur untuk pergi ke laut. Mereka menggunakan jag minyak masak untuk membuatnya terapung. Rakit yang mereka buat itu bukan perahu, jadi secara teknikal ia tidak salah di sisi undang-undang.
“Apa bezanya untuk kami?” tanya Mohammed, bapa kepada empat orang anak yang tinggal di kampung Tha Pyay Taw yang juga nelayan Rohingya berumur 35 tahun itu. “Kami boleh mati kebuluran di kampung ini jika kami tidak pergi ke laut, atau kami boleh mengambil risiko untuk menangkap ikan supaya dapat mengisi perut. Kami tidak ada makanan di sini.”
The Associated Press hanya menggunakan nama pertama Mohammed bagi melindungi identiti dan keselamatannya. Selagi penduduk kampung meninggalkan perahu mereka di pesisiran pantai, polis membenarkan mereka berkayuh di laut yang bergelora. Namun, dengan bayaran.
Tengah hari baru-baru ini, beberapa orang penduduk kampung pulang semula ke pesisiran pantai dengan menunda ikan-ikan tangkapan. Sedang mereka memunggah tangkapan, seorang polis yang memegang guni menghampiri dan menuntut beberapa ekor ikan. Nelayan-nelayan di sana mengatakan itu perkara biasa.
“Mereka tidak akan membenarkan kami pergi ke laut lagi jika kami tidak memberikan hasil tangkapan kami,” kata Kalumya, nelayan yang berumur 40 tahun. Pegawai polis enggan bercakap dengan The Associated Press mengenainya.
Masyarakat Rohingya, penduduk-penduduk berugama Islam di negara majoriti penganut Buddha itu telah lama berhadapan dengan dakwaan dan kebanyakan mereka dinafikan sebagai warganegara di sana. Pemberontakan baru-baru ini bermula dengan serangan ke atas pos kawalan berhampiran dengan sempadan Bangladesh yang membunuh sembilan pegawai polis pada bulan oktober lepas. Identiti dan motif penyerang tidak dapat dipastikan jadi kerajaan telah melancarkan operasi membanteras pemberontakan secara besar-besaran di seluruh kawasan Rohingya di barat Rakhine.
Lebih satu juta masyarakat Rohingya tinggal di Rakhine, sempadan Bangladesh. Tha Pyay Taw tidak terjejas dengan keganasan itu memandangkan ia berlaku di sebuah kampung yang jaraknya dua ke tiga jam perjalanan. Namun “disebabkan oleh keselamatan serantau, perahu nelayan ditegah dari memasuki laut,” kata Hashim Ulah, pentadbir kampung Maungdaw yang dilantik oleh kerajaan. Mohammed memberitahu penduduk tidak mempunyai pilihan.
“Kami berdepan dengan risiko ditembak oleh tentera laut di Myanmar atau Bangladesh jika kami menggunakan perahu untuk turun ke laut,” katanya. “Kami juga berisiko ditimpa ribut jika kami menggunakan rakit. Kami tiada pilihan.” Nelayan itu berjaya untuk kekal selamat setakat ini, walaupun mereka terdedah kepada bahaya dengan rakit sementara mereka yang hanya kelihatan seperti titik kecil dari ufuk itu.
Bangsa-Bangsa Bersatu menganggarkan 65,000 masyarakat Rohingya telah meninggalkan Myanmar ke Bangladesh dalam tiga bulan lepas untuk melepaskan diri dari ‘operasi pembanterasan’. Masyarakat dan aktivis Rohingya mengatakan beratus-ratus orang awam telah terbunuh.
Jumlah kematian sebenar tidak dapat disahkan kerana pekerja bantuan dan wartawan kerajaan tidak mempunyai akses ke kawasan-kawasan tersebut. Imej satelit baru-baru ini yang dikeluarkan oleh kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia menunjukkan beribu-ribu rumah telah terbakar.
“Hanya masalah menanti masyarakat Rohingya,” kata Mohammed. “Saya tidak nampak peningkatan dalam kualiti hidup kami.” – AP