Thursday, April 25, 2024
30.9 C
Brunei

    -

    Masyarakat Sabah, Sarawak teruja jual beli juadah sungkai kekalkan SOP

    KOTA KINABALU, 3 APRIL – Keterujaan masyarakat Sabah dan Sarawak untuk menjual dan membeli pelbagai juadah ‘sungkai’ atau ‘sungkei’’ (buka puasa) enak di bazar Ramadan tidak mengalpakan mereka daripada terus melaksanakan prosedur operasi standard (SOP), bagi mengekang penularan COVID-19.

    Tinjauan Bernama di bazar Ramadan kedua-dua negeri itu mendapati meskipun negara telah memasuki Fasa Peralihan ke Endemik bermula Jumaat lepas (1 April), para peniaga dan pengunjung masih mempraktikkan langkah berjaga-jaga demi keselamatan semua pihak.

    Bazar Ramadan di Asia City dan Lintasan Deasoka di sini, merupakan antara 16 bazar di Kota Kinabalu yang mewajibkan pengunjung memasuki bazar itu agar menyimbas kod aplikasi MySejahtera selain memastikan peniaga dan pengunjung memakai pelitup muka pada setiap masa.

    Beroperasi bermula 2 petang hingga 7 malam, kedua-dua bazar itu turut dipantau anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan pengunjung dan peniaga terus mematuhi SOP yang ditetapkan di bazar berkenaan.

    Di Sarawak, Timbalan Menteri Utiliti dan Komunikasi negeri Dr Abdul Rahman Junaidi berkata tahun ini, Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) menyediakan 69 petak atau gerai di dua bazar iaitu di perkarangan pasar raya Mydin Samariang dan kawasan Satok, bagi memastikan peniaga dan pengunjung dapat mengamalkan penjarakan fizikal tanpa perlu bersesak-sesak.

    “Walaupun mendapat kelonggaran dari Kementerian Kesihatan dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri untuk penganjuran bazar Ramadan namun SOP perlu dipatuhi,” katanya selepas merasmikan bazar Ramadan di perkarangan pasar raya terbabit.

    Sementara itu, seorang peniaga di bazar berkenaan, Salleh Ahmad, 45, berkata peluang untuk berniaga semula di bazar tersebut memberikan kelegaan kepadanya bagi menambah pendapatan setelah sekian lama ia tidak beroperasi.

    Bagi pengunjung bazar, Salbia Iri, 76, pula beliau bersyukur suasana dan bahang bazar Ramadan telah kembali seperti biasa biarpun pilihan juadah yang dijual peniaga berkurang berbanding tahun sebelum pandemik bermula. – Bernama

    Sementara itu di Kuala Lumpur, sebahagian masyarakatnya mengambil kesempatan berbuka puasa bersama-sama pada hari pertama Ramadan setelah Malaysia memasuki Fasa Peralihan Endemik ketika tinjauan di Dataran Merdeka pada 3 April. – Bernama
    Masyarakat di Sabah membanjiri tapak bazar dengan mematuhi SOP seperti pemakaian pelitup muka dan pendaftaran MySejahtera pada hari pertama pembukaan bazar ketika tinjauan di Bazar Asia City. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...