Masyarakat Thailand sokong kempen derma darah

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 SEPT – Salah satu projek yang paling dibanggakan oleh Duta Besar Istimewa dan Mutlak Thailand ke Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Wanthanee Viputwongsakul yang bakal menamatkan perkhidmatannya adalah kempen derma darah.

Sejak ditugaskan ke negara ini pada Januari 2019, Kedutaan Thailand di Brunei telah menganjurkan lima kempen derma darah bagi menyokong Pusat Pendermaan Darah Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS).

Kempen pertama diadakan sempena projek ‘Good Deeds from the Heart’ di bawah Royal Initiative Volunteers, yang ditubuhkan oleh Raja Thailand, Kebawah Duli Yang Maha Mulia King Maha Vajiralongkorn, pada 13 November 2019.

Inisiatif itu ditubuhkan sebagai penghormatan kepada mendiang Raja Thailand Bhumibol Adulyadej dan Ratu Sirikit atas sumbangan mereka kepada Thailand.

Seramai 60 orang daripada kalangan masyarakat Thailand menderma darah pada kempen itu.

PYT Wanthanee Viputwongsakul semasa menyampaikan cenderahati kepada salah seorang penderma.

Puan Yang Terutama berkata, semasa gelombang pertama pandemik COVID-19 di Brunei Darussalam tahun lalu, mereka menyedari bahawa Pusat Pendermaan Darah Hospital RIPAS memerlukan bagi sumbangan darah disebabkan kekurangan bekalan.

“Oleh itu, dengan moto ‘menderma darah, selamatkan nyawa’, kami memutuskan untuk menganjurkan kempen derma darah kedua bagi masyarakat Thailand dan melanjutkannya kepada rakan-rakan Thailand di mana 25 individu menyertainya,” tambah beliau.

Kempen kedua itu diadakan pada 8 Mei 2020, sementara itu yang ketiga diadakan pada 30 November 2020.

Ia diadakan bersempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Raja Thailand Bhumibol Adulyadej, Hari Kebangsaan Thailand dan Hari Bapa Thailand yang jatuh pada 5 Disember 2020.

Acara itu telah menerima sambutan yang sangat menggalakkan daripada komuniti Thailand dan rakan-rakan dengan seramai 63 orang tampil menderma darah.

Kempen keempat pula dikendalikan pada Jun lalu menerusi sokongan sebuah syarikat milik rakyat Thailand iaitu Siam Safetech (B) Sdn Bhd dan rakan-rakan Thailand dengan 60 orang kakitangan dan rakan-rakan mereka menderma darah.