Masyarakat Turki bantu haiwan liar semasa wabak

ANKARA – Semasa penularan wabak COVID-19, satu inisiatif untuk membendung penularan tersebut adalah dengan cara perintah berkurung dan penutupan beberapa tempat seperti pusat hiburan, restoran-restoran, pusat membeli-belah dan sebagainya.

Berikutan perintah berkenaan, orang ramai berdepan kesukaran untuk menjalani aktiviti harian yang biasa dilakukan kerana terpaksa berkurung di rumah masing-masing. Namun, perintah berkurung ini bukan saja menjejaskan manusia, tetapi ia juga menjejaskan kehidupan haiwan liar atau jalanan kerana tidak mendapat sumber makanan sehinggakan menyebabkan haiwan berkenaan kebuluran.

Di Turki, dengan begitu sedikit orang berada di jalanan kerana sekatan anti-koronavirus yang ketat, pihak berkuasa dan individu berusaha memastikan kucing dan anjing liar dapat terus hidup semasa tempoh kesukaran ini.

Anjing dan kucing jalanan biasanya dijaga oleh orang-orang Turki. Namun, dengan nasihat untuk tinggal di rumah, badan amal haiwan melibatkan diri dan menolong haiwan-haiwan liar dalam masa-masa luar biasa ini.

“Haiwan liar adalah tanggungjawab kita, kita tidak boleh membiarkannya sendiri. Kita juga mempunyai kewajiban terhadap haiwan-haiwan berkenaan. Oleh itu, kami telah bergerak di seluruh negara untuk membantu memberi makanan,” kata Pelin Sayilgan, wakil Persekutuan Hak Haiwan ( Haytap) di Ankara, kepada media.

Seorang kakitangan Perbandaran Kadikoy memberi makan kucing-kucing liar. – Xinhua
Gambar bertarikh 18 April 2020 menunjukkan Bahar Cetinkaya, seorang kakitangan Perbandaran Kadikoy sedang menjaga kucing-kucing liar di Istanbul, Turkey. – Xinhua
Berikutan sekatan anti-koronavirus yang ketat di Turki, keadaan jalan begitu sunyi, membuatkan pihak berkuasa dan individu memberi makan haiwan liar agar haiwan-haiwan ini tidak kelaparan. – Xinhua
Kebanyakan haiwan jalanan seperti kucing menjadi simbol metropolis terkenal seperti Ankara, Istanbul atau Izmir. – Xinhua

Semasa wabak ini, kebanyakan haiwan jalanan yang telah menjadi simbol metropolis terkenal seperti Ankara, Istanbul atau Izmir, menderita dengan teruk akibat penutupan yang dikenakan oleh pemerintah untuk mengurangkan penyebaran COVID-19.

Beratus-ratus ribu perniagaan, kafe, restoran dan kedai roti yang kebiasaannya memberi makan kepada kucing dan anjing liar tidak dapat menyediakan sisa makanan. Juga perintah berkurung bagi orang tua telah menghalang mereka untuk memelihara haiwan.

“Banyak haiwan-haiwan liar dalam kelaparan dan mereka tidak dapat menyatakan keperluannya, jadi sukarelawan kami selalu bekerja dengan pihak kerajaan atau pejabat setempat untuk meninggalkan makanan dan air agar haiwan ini dapat bertahan di kota-kota dan di hutan, di mana haiwan berkenaan biasanya berkumpul,” kata Sayilgan.

“Kami meminta semua warga untuk meninggalkan makanan dan air untuk haiwan-haiwan liar di luar rumah atau bangunan mereka dalam masa-masa sukar ini, ketika mereka diperintahkan untuk tinggal di rumah,” tambahnya.

Selma Gonen, seorang warga Turki yang telah menjaga beberapa ekor kucing liar selama bertahun-tahun, mengawasi haiwan yang memerlukan di kejiranan Cankaya di ibu kota Ankara, berusaha mencegah daripada berlakunya kelaparan dan dehidrasi.

“Dulu saya sering meninggalkan makanan dan air untuk kucing dan anjing sebelum wabak. Sekarang saya telah menggandakan jumlah yang saya tinggalkan, kerana saya tahu ada di antaranya yang berkeliaran di kawasan ini setiap hari dan saya tahu haiwan ini akan mati kelaparan, ” tambahnya.

Sebagian besar haiwan itu memiliki tanda telinga, tanda yang menunjukkan haiwan berkenaan telah direkodkan oleh kota dan dirawat oleh doktor haiwan, katanya.

“Tetapi perbandaran memiliki banyak hal lain yang harus dilakukan selama ini, jadi kami harus melibatkan diri untuk membantu dan merawatnya, kerana haiwan ini juga adalah sebagian daripada kehidupan seharian kita,” tegasnya, mendesak warga untuk menjaga atau memelihara binatang liar semasa hari kuarantin dari tempat perlindungan haiwan.

Turki berada dalam keadaan perintah berkurung selama tiga minggu dengan tindakan yang belum pernah terjadi sebelumnya.

Jalan-jalan sunyi ketika pihak kerajaan menumpukan pada usaha menghentikan penyebaran virus yang telah menyebabkan 725 kematian dan 34,109 jangkitan setakat ini, menurut angka rasmi pada 7 April lalu.

Beberapa buah kedai besar telah menyumbangkan makanan haiwan kepada badan amal haiwan pada minggu lalu, dan para sukarelawan mengedarkannya setiap hari di bandar-bandar besar dan kawasan sekitarnya.

Pada 5 April lalu, Kementerian Dalam Negeri Turki mengeluarkan perintah rasmi bagi gabenor untuk menyediakan makanan, air dan pembasmi kuman untuk binatang jalanan, di mana ia merupakan keputusan yang dipuji oleh persatuan perlindungan haiwan.

“Makanan dan air akan ditinggalkan di tempat tinggal haiwan jalanan seperti taman dan kebun, terutama sekali di tempat perlindungan haiwan,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan.

Walaupun pakar kesihatan telah memberi jaminan bahawa pandemik koronavirus menyebar dari manusia ke manusia, semakin banyak haiwan peliharaan dilaporkan ditinggalkan.

“Para saintis telah mengulangi bahawa tidak ada bukti bahawa haiwan peliharaan dapat menyebarkan penyakit ini, tetapi kami menerima banyak laporan mengenai orang-orang yang meninggalkan haiwan peliharaan mereka di jalanan atau di tempat perlindungan binatang,” kata Sayilgan.

Dia memberi amaran bahawa haiwan peliharaan ini tidak memiliki peluang untuk bertahan hidup di tempat perlindungan haiwan kerana anjing atau kucing lain akan berebut makanan antara satu sama lain. – Xinhua