Friday, September 27, 2024
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mat Sentol terima Anugerah Kehormat

    Pelakon dan pelawak veteran Malaysia, Mat Sentol menerima Anugerah Kehormat Permata Dunia daripada Universiti Multimedia (MMU) pada Majlis Apresiasi Penerima Anugerah Kehormat Permata Dunia 2023.

    Memetik laporan mStar, Mat Sentol atau Abd Rashid Yahaya, 90, berkata, beliau berasa terharu atas penghargaan diberikan MMU selain masih ramai mengingatinya sebagai anak seni.

    “Pak Mat (panggilan Mat Sentol) rasa sangat gembira kerana ada juga orang yang masih ingat pada Pak Mat.

    “Zaman dahulu buat filem karya seni sinematik, semua buat sendiri. Saya suka mencuba, jadi idea pun datang secara semula jadi,” katanya kepada pemberita.

    Anugerah diterima pelawak veteran itu merupakan julung kali diperkenalkan MMU bagi mengiktiraf dan menghargai jasa serta sumbangannya dalam bidang seni sinematik dan industri kreatif tanah air.

    Dalam pada itu, pelawak veteran ini turut menasihatkan generasi muda agar sentiasa berani untuk menyahut cabaran dalam memajukan diri.

    “Kepada anak-anak muda, kalau hendak buat apa-apa, buat sahaja, asalkan ia bukan perkara yang salah atau negatif,” katanya.

    Mat Sentol hadir bersama-sama anaknya untuk menerima anugerah dan sumbangan wang tunai RM10,000 daripada MMU.

    Sebelum ini, anak Mat Sentol iaitu Roslee Rashid memaklumkan kesihatan bapanya berada dalam keadaan baik namun pergerakan sedikit terbatas disebabkan faktor usia.

    Pelawak veteran ini pernah membintangi beberapa filem lagenda seperti Mat Bond, Mat Magic, Mat Karong Guni, Mat Toyol dan Mat Tiga Suku. – Agensi

    Mat Sentol terima Anugerah Kehormat Permata Dunia. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda