Mata pencarian buat pembersih kubur

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 JUN – Pandemik COVID-19 menjejaskan banyak negara termasuk negara ini sama ada daripada segi ekonomi, budaya dan tradisi.

Namun selain menjejaskan, ia juga ada hikmah di sebaliknya, dengan satu tradisi yang sering dilakukan penduduk di negara ini semasa Ramadan dan Syawal iaitu menziarahi dan membersihkan kubur ahli keluarga yang telah kembali ke rahmatullah, akhirnya menjadi mata pencarian atau pekerjaan kepada sebahagian orang.

Dengan tegahan untuk mengadakan perkumpulan ramai termasuk di kawasan perkuburan, pembersihan kubur dijalankan oleh orang persendirian dan syarikat.

Wartawan Media Permata berkesempatan menemu bual salah seorang pembersih kubur di Kampung Jerudong yang menurutnya kerja-kerja membersihkan tanah perkuburan diamanahkan kepadanya oleh ahli keluarga individu yang telah kembali ke rahmatullah, namun beliau hanya melakukannya untuk beramal dan mengambil pahala lebih serta dengan melakukannya, beliau dapat mengingati mati dan bersiap sedia untuknya.

Manakala Pengurus Ar Razak Funeral Management, Haji Muhammad Loqman Al-Hakim bin Haji Hamdan mengatakan permintaan seorang rakan mereka untuk membersihkan kubur sanak saudara, menjadi permulaan mereka menjalankan khidmat tersebut.

Ini sekali gus dapat menyahut seruan kerajaan mengelakkan perkumpulan ramai kerana hanya beberapa orang pekerja sahaja yang akan melakukan pembersihan, tambahnya.

“Alhamdulillah, ia sedikit sebanyak membuka peluang pekerjaan kepada mereka yang memerlukan, selain dapat menambah amal dan kebajikan yang diteruskan pada masa ini dan mungkin pada masa-masa akan datang.

“Setakat ini permintaan dibukakan di seluruh negara dan permintaan juga amat menggalakkan daripada orang ramai, meskipun agak perlahan, namun permintaan sentiasa ada,” tambahnya.

Salah seorang pembersih kubur ketika menjalankan tugasnya demi membantu ahli keluarga yang tidak dapat menziarahi kubur akibat kekangan COVID-19 selain meraih pahala.