SEORANG lelaki warga Thailand berusia 44 tahun telah dilaporkan mati akibat hipotermia selepas tidur di lantai biliknya yang sejuk dengan tiga kipas elektrik menghadap kearahnya sepanjang malam.
Sobthawee Boonkua, dari Tambon Nai Muang, wilayah Chaiyaphum, Thailand, telah menjaga ibunya yang berusia 86 tahun, di rumah seorang saudaranya dan memutuskan untuk bermalam di sana.
Merasa bimbang yang dia tidak akan mendapat tidur yang nyenyak oleh kerana haba panas di salah sebuah bilik tidur di sana, dia kemudian memutuskan untuk tidur
di lantai dan memasang tiga kipas angin elektrik untuk membuatnya berasa sejuk dan nyaman. Malangnya, dia tidak mengetahui bahawa suhu di Chaiyaphum jatuh mendadak pada waktu malamnya, manakala tubuhnya perlu menyesuaikan dengan keadaan itu.
Tubuh Sobthawee yang kedinginan itu ditemui oleh saudaranya yang segera menelefon ambulans dan polis. Lt. Kolonel Thanasit Apiboonworaset, polis Muang Chaiyaphum telah tiba di tempat kejadian pada pukul 8:30 pagi, bersama dengan koroner. Selepas memeriksa mayat mangsa dan menyoal siasat ahli keluarganya, pemeriksa perubatan membuat kesimpulan bahawa lelaki itu telah mati akibat daripada hipotermia, kerana tubuhnya tidak dapat menyesuaikan dengan perubahan suhu yang mendadak.
Abang kepada lelaki itu, Saravuth Boonkua, memberitahu polis bahawa, Sobthawee berada dalam keadaan yang baik dan tidak mengalami sebarang masalah kesihatan yang serius.
Pada asalnya dilaporkan oleh The Nation, pada 3 November 2017, berita tentang kematian aneh Sobthawee Boonkua telah tersebar dalam media dan mendapat pelbagai reaksi daripada orang ramai.
Ada yang berasa tidak percaya yang seseorang boleh mati akibat hipotermia di dalam rumah, di Thailand, sementara yang lain mengesahkan bahawa perbezaan suhu antara siang dan malam adalah cukup besar di wilayah Chaiyaphum dan penggunaan kipas angin membuatkan udara dan suhu akan menjadi lebih sejuk.