Saturday, January 18, 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Matilda’ dipilih perkataan tahun ini di Australia

    CANBERRA, 15 NOV – ‘Matilda’ dinobatkan sebagai Australia’s Word of the Year untuk 2023 berikutan kejayaan skuad kebangsaan wanita negara itu dalam aksi Piala Dunia Wanita FIFA yang lepas.

    Perkara itu diumumkan oleh Australian National Dictionary Centre (ANDC) di Australian National University (ANU) di Canberra hari ini, lapor Xinhua.

    Pemilihan itu dibuat selepas pasukan bola sepak wanita Australia dengan jolokan Matilda itu mara ke peringkat separuh akhir kejohanan yang diadakan di Australia dan New Zealand dari 20 Julai hingga 20 Ogos lepas.

    Pengarah ANDC, Amanda Laugesen berkata pemilihan ‘Matilda’ sebagai perkataan yang paling popular di Australia pada 2023 adalah satu keputusan mudah dan menunjukkan minat di negara itu dalam sukan melibatkan wanita.

    “Hanya sejak pertengahan 1990an, pasukan bola sepak wanita dipanggil Matilda, tetapi selepas Piala Dunia tahun ini perkataan itu sekali lagi mengukuhkan dirinya dalam kamus Australia,” katanya.

    Kekalahan Matilda kepada England pada aksi separuh akhir menjadi program televisyen yang paling banyak ditonton di Australia sejak rekod semasa bermula pada tahun 2001 yang hanya menarik 11.5 juta penonton.

    Menurut FIFA, Piala Dunia Wanita FIFA 2023 mencatatkan rekod kehadiran penonton paling ramai dalam sejarah, dengan 1.97 juta orang menonton perlawanan di dalam stadium.

    Jumlah itu meningkat daripada rekod sebelum ini iaitu 1.35 juta di Kanada pada tahun 2015. – Bernama

    Gambar AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda