Matlamat kejohanan jemputan BAM tercapai

KUALA LUMPUR, 17 OGOS – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berpuas hati dengan prestasi yang dipamerkan pemain serta penganjuran Kejohanan Jemputan BAM yang berjaya mencapai matlamatnya.

Pengarah Kejurulatihan BAM Wong Choong Hann juga gembira melihat keterujaan dan semangat juang barisan pemain mendapatkan kembali rentak sepanjang kejohanan tertutup bermula dengan Divisyen Dua pada 5 Ogos di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara.

Menurut beliau, satu mesyuarat pasca-kejohanan akan diadakan bagi membincangkan untuk meneruskan penganjuran kejohanan jemputan sementara menunggu kejohanan antarabangsa yang tergendala susulan pandemik COVID-19 bersambung semula.

“Semua pemain menikmati dan teruja dengan pertandingan ini, nampak semangat juang mereka dalam setiap perlawanan. Memang setiap pertandingan ada menang dan kalah, tetapi kami boleh lihat kejohanan ini dihargai oleh setiap pemain.

“Mungkin belum 100 peratus dapat semula suasana kejohanan tetapi sekurang-kurangnya bagi pihak jurulatih, kami boleh ambil kesempatan ini untuk menilai jika ada kekurangan dari segi corak dan program latihan yang boleh ditambah baik. Kadang-kadang kami tidak dapat lihat ‘blindspot’ jika hanya menjalani latihan semata-mata,” katanya.

Dalam pada itu, Choong Hann turut memuji prestasi pemain muda yang bijak mengambil kesempatan mempamerkan aksi cemerlang dengan mengatasi pemain lebih berpengalaman pada kejohanan berkenaan menyaksikan Ng Tze Yong muncul juara perseorangan lelaki selepas mengalahkan Leong  Jun Hao  21-13, 21-8.

Bagi saingan perseorangan wanita pula, Soniia Cheah menundukkan Eoon Qi Xuan, 21-16, 25-23 dan Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean mudah menewaskan Pearly Tan-M Thinaah, 21-14, 21-17 dalam acara beregu wanita.- Bernama