Matrade pergiat promosi di Amerika Latin

KUALA LUMPUR, 19 Mei – Perbadanan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) akan menyertai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darell Leiking dan agensi lain di bawah kementerian itu pada misi perdagangan dan pelaburan di Chile, Argentina dan Brazil, mulai 20 hingga 24 Mei.

Dalam kenyataan hari ini, Matrade berkata lapan syarikat Malaysia mewakili industri pertanian, elektrik dan elektronik (E&E), teknologi maklumat dan telekomunikasi, automotif serta perkhidmatan juga akan menyertai misi itu yang bertujuan meningkatkan kesedaran tentang keupayaan Malaysia dalam pelbagai sektor.

Ketua Pegawai Eksekutif Matrade Datuk Wan Latiff Wan Musa berkata syarikat Malaysia bakal mendapat manfaat daripada platform perkongsian perdagangan dua hala stretagik yang telah dijalin dengan tiga negara berkenaan.

“Misi ini akan meningkatkan kerelevanan Malaysia dalam pasaran berkenaan dan menyokong usaha pengeksport Malaysia untuk aktif mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka.

“Pertapakan pengeksport negara kita di Chile, Argentina dan Brazil juga akan membuka peluang kepada mereka untuk mengeksploitasi pasaran Amerika Latin yang lebih besar,” katanya.

Chile, Argentina dan Brazil antara rakan dagangan terbesar Malaysia di Amerika Latin dengan Brazil merupakan yang terbesar.

Jumlah dagangan dengan Chile pada 2018 berjumlah RM1.32 bilion (AS$0.33 bilion), mencatatkan peningkatan 150 peratus daripada nilai dagangan pada 2009. – Bernama