Wednesday, October 9, 2024
24.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    MATRADE promosi produk Malaysia

    KUALA LUMPUR, 5 Mei – Produk makanan dan minuman (F&B) Malaysia yang unik dijangka menjadi tumpuan pada pameran perdagangan Asia yang utama, HOFEX 2019 di Hong Kong dari 7-10 Mei ini.

    Acara itu akan menyaksikan penyertaan sebanyak 30 syarikat Malaysia.

    Disertai agensi promosi perdagangan Malaysia, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), penyertaan di HOFEX 2019 akan turut membantu mempromosikan produk kepada pembeli dari Asia dan negara-negara lain.

    Pesuruhjaya Perdagangan MATRADE di Hong Kong, Noor Ezzwanee Ahmad berkata terdapat minat yang tinggi dalam kalangan syarikat Malaysia untuk menyertai HOFEX, berdasarkan reputasi acara itu dalam kalangan pembeli dari seluruh dunia.

    Pada tahun ini, pameran perdagangan itu akan menampilkan lebih 2,800 gerai dan dijangka menarik lebih 42,000 pengunjung dari lebih 70 negara.

    “Terdapat pelbagai peluang perniagaan dan rangkaian di pameran perdagangan dua tahun sekali ini dan lebih 20,000 pembeli asing akan hadir pada acara itu.

    “Acara perdagangan di Hong Kong sering menjadi platform pilihan kepada peniaga, usahawan dan pengeluar global untuk mempromosikan dan melancarkan produk mereka ke pasaran lain, berdasarkan status bandar itu sebagai pelabuhan perdagangan bebas,” katanya dalam kenyataan di sini kelmarin.

    Sebagai sebahagian daripada usaha berterusan MATRADE dalam mempromosikan jenama Malaysia, pejabatnya di Hong Kong akan memudahkan padanan perniagaan pengeksport Malaysia yang menyertai HOFEX, dengan pembeli yang berpotensi dari Hong Kong, Macau dan China.

    Lebih 780 pertemuan perniagaan dijangka diadakan.

    “Padanan perniagaan merupakan antara kemudahan utama MATRADE kepada syarikat Malaysia. Dengan rangkaian kita yang luas dan risikan pasaran yang diraih lebih dua dekad, mereka dijamin dipadankan dengan pembeli yang berkualiti tinggi.

    “Kami berharap penyertaan itu akan memberi peluang kepada syarikat Malaysia untuk menemui pembeli dari seluruh dunia di Hong Kong dan menjadikan bandar itu sebagai pintu masuk ke China dan negara-negara lain,” kata Ezzwanee.

    Pada HOFEX 2017, syarikat Malaysia berjaya meraih nilai eksport lebih RM20 juta dan syarikat yang mengambil bahagian juga dapat mencari pengedar di Hong Kong, China dan negara-negara lain.

    Syarikat F&B Malaysia yang bersedia untuk memanfaatkan prospek di Hong Kong dinasihatkan mendapatkan pandangan MATRADE melalui pejabatnya di Hong Kong untuk memastikan mereka mempunyai pemahaman mengenai pasaran yang diperlukan sebelum mengaksesnya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda