KUALA LUMPUR, 29 OKT – Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) mencadangkan agar kerajaan melanjutkan tempoh moratorium sekurang-kurangnya sehingga Jun ini dalam Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan tidak lama lagi.
Presidennya Datuk Tan Kok Liang berkata disebabkan sektor pelancongan adalah antara industri terjejas teruk, ramai individu serta perniagaan berkaitannya tidak dapat membayar hutang akan menderita serta mungkin diisytiharkan muflis jika moratorium itu tidak dilanjutkan.
Katanya kerajaan harus membuat keputusan tegas dalam perkara itu dan mengarahkan bank serta lain-lain institusi kewangan dan pajakan untuk menambahkan tempoh moratorium bagi membantu rakyat dan ekonomi secara keseluruhan.
“Langkah-langkah untuk memberikan kelegaan sementara yang diambil sekarang seperti skim Pembiayaan Pelancongan Penjana (PTF) dan lain-lain kemudahan tidak berapa berkesan kerana syarikat-syarikat kecil dan sederhana (SME) masih terlalu berhati-hati dalam pembayaran semula pinjaman, terutama ketika tempoh yang masih tidak menentu ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selain itu, senarai harapan MATTA untuk Belanjawan 2021 ini adalah kerajaan menawarkan peruntukan mencukupi untuk industri pelancongan melabur dalam proses pendigitalan perniagaan dan lebih menyokong platform dalam talian tempatan. – Bernama