Mattel, Disney umum perjanjian pelesenan global

EL SEGUNDO, CALIFORNIA, 27 JAN – Mattel, Inc. hari ini mengumumkan satu perjanjian pelesenan global berbilang tahun untuk francais Disney Princess dan Frozen.

Mattel akan mempunyai hak pelesenan global untuk membangunkan barisan barang mainan untuk Produk Pengguna, Permainan dan Penerbitan Disney, termasuk anak patung fesyen, anak patung kecil dan figura. Koleksi itu dijangka dilancarkan di peruncit di seluruh dunia pada awal tahun 2023.

“Kami amat berbesar hati untuk mengalu-alukan kembali barisan Disney Princess dan Frozen ke Mattel,” kata Richard Dickson, Presiden dan Ketua Pegawai Operasi, Mattel. “Sebagai peneraju dunia di dalam anak patung, kami berharap dapat membawa pendekatan Mattel Playbook kami yang unik kepada pengurusan jenama, produk dan kepakaran pemasaran, serta perhatian yang tidak henti-henti terhadap perincian dan kualiti untuk mencipta barisan yang berinovatif dan memberi inspirasi untuk cerita dan watak ikonik ini.”

Penyusunan pelesenan baharu itu dibina di atas perhubungan pelesenan yang sedia ada di antara Mattel dan Disney untuk francais Toy Story dan Cars keluaran Pixar Animation Studio dan perjanjian pelesenan global yang diumumkan baru-baru ini untuk Lightyear.

Melalui perjanjian itu, Mattel akan membangunkan anak patung berdasarkan kepada Disney Princess termasuk Aladdin, Beauty and the Beast, Brave, Cinderella, The Little Mermaid, Mulan, Pocahontas, The Princess and the Frog, Sleeping Beauty, Snow White and the Seven Dwarfs, Tangled, Disney Frozen, The Little Mermaid Live Action, Moana D+ Series, Tiana D+ Series, Aladdin Live Action, Beauty & the Beast Live Action, Cinderella Live Action, dan Mulan Live Action. – Bernama