Mattis adakan lawatan ke China

BEIJING, 26 Jun – Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), James Mattis hari ini tiba di Beijing bagi lawatan kali pertamanya ke China, dalam matlamat mencari ruang bagi kerjasama tentera ketika ketegangan keselamatan antara kedua-dua kuasa besar itu semakin meningkat.

Dengan Washington dan Beijing terlibat dalam perang perdagangan yang bertambah buruk dan Pentagon cemas dengan penempatan senjata oleh China di kepulauan yang dipertikaikan di Laut China Selatan, Mattis berkata dia akan berusaha mencari ruang yang mana kedua belah pihak berkongsi kepentingan, termasuklah memujuk Korea Utara untuk melucutkan senjata nuklear mereka.

Mattis dijadualkan menemui rakan sejawatannya dari China, Menteri Pertahanan Wei Fenghe buat pertama kali dan juga para pegawai tertinggi yang lain, untuk mendengarkan pandangan mereka.

Kali terakhir setiausaha pertahanan AS melawat China ialah empat tahun lalu dan perhubungan antara kedua-dua ketenteraan perlu dikukuhkan, menurut Mattis.

“Saya berpendapat cara untuk menangani isu-isu antara kedua-dua negara ialah untuk terlebih dahulu mewujudkan dialog strategik yang telus, bagaimana pihak China melihat hubungan dengan kami berkembang, bagaimana kami melihatnya berkembang,” ujarnya.

Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, James Mattis (tengah) ketika tiba di sebuah hotel di Beijing, China kelmarin. – AFP

Dalam kenyataan sebelum lawatan itu, jurucakap kementerian pertahanan China, Ren Guoqiang berkata mereka seharusnya ‘bekerjasama untuk menjadikan hubungan dua hala ketenteraan faktor penting yang menstabilkan dalam hubungan antara kedua-dua negara’.

Tetapi akhbar yang dijalankan oleh kerajaan China, Global Times, memberi amaran dalam editorial hari ini bahawa ‘Mattis seharusnya mendengar daripada mengkritik’.

“Jika AS gagal memahami ketidakyakinan China atau salah mentafsir perlunya tindakan yang diambil oleh China untuk mengurangkan ketidakyakinan ini, dalam hubungan Sino-AS, ketegangan tidak akan dapat dielakkan,” menurut tabloid nasionalis.

Ketua Pentagon, yang juga akan melawat Korea Selatan dan Jepun bagi lawatan empat hari ke rantau itu, akan tiba ketika ancaman perdagangan antara Washington dan Beijing bertambah hebat, tatkala cukai akan mula dikenakan minggu depan.

Namun dia telah menjelaskan bahawa rundingannya akan terbatas pada hubungan tentera dan rundingan nuklear Korea Utara. – AFP