SKOPJE, Macedonia, 17 Sept – Setiausaha Pertahanan Jim Mattis tiba di Macedonia hari ini, mengutuk usaha Rusia untuk menggunakan wang dan pengaruhnya bagi mengumpul pembangkang yang akan membuka jalan bagi negara itu untuk bergabung dengan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
Mattis memberitahu wartawan yang turut serta bersamanya dalam lawatan ke Skopje bahawa ‘tidak syak lagi’ yang Moscow telah membiayai kumpulan pro-Rusia untuk menentang referendum mengenai perubahan nama pada akhir bulan ini.
“Mereka telah memindahkan wang dan menjalankan kempen pengaruh yang lebih luas,” kata Mattis. “Kita patut membiarkan rakyat Macedonia untuk membuat keputusan sendiri.”
Macedonia akan mengundi pada 30 September sama ada untuk meluluskan nama baharu Macedonia Utara, yang merupakan satu usaha untuk mententeramkan Greece, yang selama bertahun-tahun menyekat laluan Macedonia ke NATO dan Kesatuan Eropah.
Tetapi apa-apa kemajuan ke arah keanggotaan NATO oleh negara Balkan sangat ditentang oleh Rusia, yang tidak mahu pakatan itu berkembang ke kawasan yang dahulu di bawah pengaruh Moscow.
Mattis merupakan antara pemimpin antarabangsa yang terbaharu bagi mengadakan lawatan ke Macedonia untuk menyuarakan sokongan bagi referendum itu, dan dia adalah pegawai Amerika Syarikat paling kanan yang telah mengadakan kunjungan ke negara itu.
Setiausaha Agung NATO, Jens Stoltenberg, canselor Jerman, Angela Merkel dan Canselor Austria, Sebastian Kurz telah pun mengadakan lawatan ke sana dan memberi sokongan mengenai perubahan nama itu, dengan mengatakan ia benar-benar mahu negara itu menyertai NATO, selepas bertahun-tahun menunggu.
Rusia telah diselar kerana usaha untuk cuba mempengaruhi undian. Pada Julai lalu, Greece mengusir dua diplomat Rusia yang dituduh membekalkan dana kepada kumpulan pembantah yang menentang perjanjian pertukaran nama. Rusia mengecam pengusiran itu sebagai tidak wajar. – AP