PARIS, 19 April – Jaringan Blaise Matuidi pada minit ke-93 memastikan kemenangan 3-2 Paris Saint-Germain ke atas Metz untuk menyamai jumlah mata dikumpul pendahulu Ligue 1, AS Monaco.
Terdahulu, Edinson Cavani meledak gol ke-30 dalam liga musim ini sebelum Matuidi memastikan babak pertama beraksi dengan kelebihan buat PSG.
Namun Yann Jouffre dan pemain gantian Cheick Diabate kembali meletakkan kedudukan seimbang malah hampir meraih gol ketiga tetapi sepakan percuma Jouffre terkena palang.
Bagaimanapun, ketika aksi memasuki masa tambahan, Matuidi tampil dengan gol kedua peribadinya dalam perlawanan ini sekali gus kekal memberi tekanan kepada Monaco dalam perebutan kejuaraan liga.
“Kami berada dalam ketakutan sehingga akhir perlawanan. Saya fikir ada ketikanya kami tidak menghormati kemampuan lawan.

“Kami kena berhati-hati dengan perkara itu kerana lawan terus berjuang dan tidak berputus asa. Tiga lagi mata dan ia satu kelegaan,” kata Matuidi.
PSG boleh mengungguli secara sementara L1 apabila menjadi tuan rumah kepada Montpellier Sabtu ini dengan Monaco berdepan Borussia Dortmund dalam perlawanan kedua suku akhir Liga Juara, esok sebelum perjalanan ke Lyon di tangga keempat Ahad ini.
Kelab ibu kota itu memburu trebel ketiga berturut-turut trofi domestik dan sepatutnya berada di hadapan Metz pada minit ke-24 apabila Lucas entah bagaimana gagal menyempurnakan hantaran silang rendah Maxwell.
Tetapi Cavani jauh lebih klinikal ketika bek melorongkan bola lain ke dalam kotak dan meneutralkan tandukan kencang Eiji Kawashima pada minit ke-33.
Cavani menjadi pemain pertama dalam liga utama Eropah untuk mencetak 30 gol musim ini, walaupun masih lapan gol di belakang rekod kelab semusim Zlatan Ibrahimovic dengan lima baki perlawanan. – AFP