Maulidur Rasul terus bersemarak

Oleh Sim Y. H, Izah Azahari & Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 NOV – Pelbagai pihak di negara ini terus mengadakan Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW bagi memperingati Hari Keputeraan Junjungan Besar, Nabi Muhammad SAW, di samping menunjukkan rasa kasih sayang terhadap jasa-jasa Baginda yang telah memancarkan cahaya dan roh Islam kepada umat Islam.

Kementerian Kesihatan adalah antara yang tidak ketinggalan mengadakan majlis seumpamanya, hari ini, yang dianjurkan Jabatan Perkhidmatan Perubatan dan Jabatan Kesihatan Alam Sekitar.

Majlis yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan itu dihadiri oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar selaku tetamu kehormat majlis.

Turut hadir ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Abdul Manap bin Othman, timbalan-timbalan setiausaha tetap, para pengarah, pegawai dan kakitangan kementerian berkenaan.

Majlis telah diserikan dengan ceramah khas Maulud bertajuk ‘Meneladani Muamalat Rasulullah SAW’ yang disampaikan oleh penceramah jemputan dari Pusat Dakwah Islamiah, Dr Andas Haji Ismuhadi bin Haji Abdullah.

Pengiran Anak Adriana Haziqah Jaida Bulqiah antara yang hadir pada majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW di SR YSHHB.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham menghadiri majlis yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, kelmarin. – Gambar oleh Kementerian Kesihatan
Dr Haji Azman hadir selaku tetamu kehormat pada majlis Sambutan Maulidur Rasul Kementerian Pendidikan.
Persembahan selawat oleh pelajar-pelajar SR YSHHB.
Gambar ramai peserta majlis perhimpunan dan perarakan yang dikendalikan oleh BMC. – Gambar oleh BMC

Sekolah Rendah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (SR YSHHB) juga mengadakan majlis serupa di dewan sekolah berkenaan, hari ini, yang antara lain bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pelajar terhadap salah satu peristiwa penting dalam Islam dan berharap ia akan dapat memperkukuhkan lagi keimanan pelajar.

Antara yang menghadiri majlis itu ialah cucunda Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Pengiran Anak Adriana Haziqah Jaida Bulqiah.

Turut hadir di majlis itu ialah guru-guru dan pelajar yang juga sama-sama melaungkan dikir dan selawat ke atas Junjungan Besar, Nabi Muhammad SAW.

Manakala itu, Majlis Sambutan Maulidur Rasul Kementerian Pendidikan pula telah berlangsung di Dewan Utama, Jabatan Perkembangan Kokurikulum dan dianjurkan bersama oleh Jabatan Pendidikan Kokurikulum dan Unit Pendidikan Khas.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) di Kementerian Pendidikan, Dr Haji Azman bin Ahmad.

Turut hadir ialah Pemangku Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman, Pemangku Naib Canselor Universiti Teknologi Brunei (UTB), Haji Ady Syarmin bin Haji Mohd Taib, timbalan-timbalan setiausaha tetap, ke-tua jabatan serta para pegawai dan kakitangan kementerian.

Majlis juga diserikan dengan ceramah khas bertajuk ‘Meneladani Muamalat Rasulullah SAW’ yang disampaikan oleh pegawai di Unit Kaunseling dan Pemahaman Agama, Pejabat Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Muhammad Yussof bin Haji Abdul Majid.

Di Daerah Belait, Brunei Methanol Company Sdn Bhd (BMC) turut tidak ketinggalan menyemarakkan Sambutan Maulidur Rasul dengan menyertai majlis perhimpunan dan perarakan Sambutan Maulud Nabi SAW yang diadakan di Padang Bandaran, Kuala Belait pada 9 November lalu.

Diadakan dengan kerjasama Masjid Kampung Sungai Liang, Masjid Zainab Kampung Lumut, Masjid Al-Mashor Kampung Sungai Mau, Masjid Kampung Bukit Sawat, Masjid Kampung Labi dan masyarakat Islam lainnya, ia merupakan sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat BMC.