Mauritius bergelut atasi tumpahan minyak

PORT LOUIS, MAURITIUS, 9 OGOS – Beribu-ribu sukarelawan bergegas mengekang satu tumpahan minyak membinasakan yang mencemari lautan jernih dan pantai-pantai indah Mauritius hari ini, meningkatkan kekecewaan apabila tidak banyak usaha dilakukan untuk mencegah bencana ekologi itu.

Kapal tangki minyak MV Wakashio merembas minyak ke dalam taman marin dilindungi, mencemari terumbu karang, hutan bakau dan spesies terancam, sehingga kerajaan terpaksa mengisytiharkan darurat alam sekitar.

Usaha untuk menstabilkan kapal yang melanggar terumbu karang pada 25 Julai namun hanya membocorkan minyak pada minggu ini, dan mengepam 4,000 tan minyak daripadanya, gagal dan pihak berkuasa tempatan bimbang keadaan laut bergelora memburukkan lagi keadaan bocor kapal tangki itu.

Jepun hari ini mengatakan ia akan menghantar pasukan enam orang pakar untuk menyertai usaha bantuan selepas Perancis mengerahkan sebuah kapal dan pesawat tentera udara dari pulau berhampiran, Reunion apabila Mauritius meminta bantuan antarabangsa.

Kapal tangki kepunyaan syarikat Jepun yang membawa bendera Panama itu melanggar terumbu karang di Pointe d’Esny, sebuah kawasan pemuliharaan yang disenaraikan di peringkat antarabangsa, berdekatan perairan biru di taman marin Blue Bay.

Gambar udara menunjukkan skala kerosakan, dengan kawasan besar laut biru berwarna hitam akibat tumpahan itu.

Jurucakap Mitsui OSK Lines, yang mengendalikan kapal yang dimiliki sebuah syarikat Jepun lain, memohon maaf atas kejadian itu, berkata minyak itu sedang diangkut dengan helikopter dari kapal pesisir itu ke pantai, namun cuaca buruk merumitkan keadaan. – AFP

Gambar dari udara pada 9 Ogos menunjukkan kapal tangki MV Wakashio yang masih terdampar di laut dengan rembasan minyak dari kapalnya mencemari laut Mauritius. Laut bergelora menjejaskan usaha mengatasi tumpahan minyak mencemarkan taman marin pulau itu dan sekitarnya. – AFP