Mauritius tuntut pampasan tumpahan minyak

JOHANNESBURG, 13 OGOS – Mauritius berkata ia berusaha mendapatkan pampasan daripada pemilik kapal Jepun yang tertumpah minyak selepas ia terkandas di perairan cetek di negara pulau Lautan Hindi itu, sementara usaha diteruskan untuk mengeluarkan minyak yang tinggal.

Kapal MV Wakashio telah tertumpah 1,000 tan daripada kargo 4,000 tan minyak ke laut, mencemari pinggir laut Mauritius, termasuk satu kawasan tanah paya dilindungi.

Kira-kira 2,500 tan minyak telah dipam dari kapal, yang terkandas di terumbu karang di Pointe d’Esny, tempat perlindungan untuk hidupan marin istimewa. Pekerja sedang bergegas untuk mengosongkan kapal sebelum ia pecah di laut bergelora dan mencemari lagi pantainya.

Perdana menteri Pravind Jugnath berkata Mauritius akan berusaha mendapatkan pampasan atas kerosakan besar alam sekitar daripada pemilik Wakashio, Nagashiki Shipping. Beliau telah mengisytiharkan tumpahan minyak satu bencana negara.

Kerajaan Jugnauth menerima tekanan untuk memberikan penjelasan sebab-sebab ia tidak mengambil tindakan segera untuk mengosongkan kapal apabila ia terkandas pada 25 Julai. Dua minggu kemudian, selepas dibadai ombak, kapal itu retak dan mulai bocor.

Yayasan hidupan marin bimbang tumpahan minyak akan memusnahkan kerja-kerja yang dilakukannya sejak 1985 untuk memulihkan kawasan tersebut, kata Gardenne. – AP

Anggota sukarelawan mengambil bahagian dalam operasi pembersihan di Mahebourg, Mauritius pada 12 Ogos 2020. – AP