Oleh Arissa
LIMBANG, 27 April – Hasrat seorang penternak kerbau untuk menyertai acara lumba kerbau di daerah ini pada Jun nanti tidak kesampaian apabila dia maut ditanduk seekor kerbau di Kampung Meritam pagi tadi.
Mayat mangsa Rini bin Mat Daud, 46, ditemui oleh rakan-rakannya pada jam 10 pagi dalam operasi mencari di kawasan semak kira-kira 100 meter dari rumah ayahnya.
Menurut ayahnya, Rini dikatakan tidak pulang ke rumah sejak Selasa lepas selepas menjaga kerbau yang baharu dipeliharanya dua minggu lepas.
Jelasnya lagi, anaknya itu ada memasang niat untuk mengasuh kerbau peliharaannya bagi menyertai satu acara lumba kerbau yang diadakan pada Jun nanti di Limbang.
“Semasa ditemui terdapat tiga tusukan di bahagian perut sebelah kiri mayat anak saya selain terdapat kecederaan di bahagian tangannya akibat ditanduk kerbau,” katanya kepada media hari ini.
Menurutnya lagi, Rini merupakan anak ketiga daripada sepuluh adik beradik, sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Limbang, Superintenden Mohd Bukhori Saffai berkata satu laporan polis dibuat ahli keluarga mangsa pagi ini.
Hasil laporan polis menunjukkan mangsa tidak pulang ke rumah selama dua hari sebelum mayatnya ditemui di kawasan semak di Kampung Meritam.