Maut ditimpa warga emas jatuh dari tingkat 7

STOCKHOLM, 3 NOV – Dua maut dan seorang cedera selepas ditimpa seorang warga emas yang terjatuh dari tingkat tujuh di sebuah bangunan konsert dan persidangan di Uppsala, semalam.

Dalam kejadian jam 7 malam itu, mangsa yang terjatuh disahkan lelaki berusia 80an, menimpa dan menyebabkan kematian seorang lelaki berusia 60an dan menyebabkan seorang wanita berusia 60an cedera.

Jurucakap polis, Magnus Jansson Klarin berkata pihaknya menerima panggilan telefon menyatakan seseorang terjun atau terjatuh dari tempat tinggi di ruang terbuka yang menjadi tempat konsert di bangunan berkenaan.

Kira-kira 1,000 orang hadir di konsert itu bersempena meraikan anggota kumpulan lagenda ABBA, Bjorn Ulvaeus dan Benny Andersson.

Polis kemudian menutup dewan konsert dan menyoal siasat saksi kejadian sebelum mengangkat mayat mangsa dan mengarahkan orang ramai pulang selepas konsert dibatalkan akibat insiden itu.

Polis setakat ini menyifatkan kejadian itu tiada kaitan dengan pembunuhan. – AFP

Pengawal keselamatan kelihatan di dewan konsert ‘Uppsala Konsert & Kongress’ di Uppsala, Sweden pada 2 November 2021. – AFP