Maut gara-gara makan telur

JAUNPUR, 5 NOV – Seorang lelaki dilaporkan maut selepas cuba memakan 50 biji telur di daerah Jaunpur, Uttar Pradesh, India semalam.

Menurut polis, lelaki tersebut, Subash Yadav, 42, bersama rakannya pergi ke pasar di Bibiganj di Jaunpur namun berlaku perselisihan antara mereka.

Kedua-dua rakan itu memutuskan untuk menyelesaikan perselisihan itu dengan cabaran memakan 50 biji telur dan pemenang akan mendapat 2,000 rupee, menurut laporan dipetik dari Gulf News.

Yadav bersetuju dengan taruhan itu dan berjaya menelan 41 biji telur sebelum pengsan dan rebah tidak sedarkan diri ketika cuba memakan telur ke-42. Dia sempat dikejarkan ke hospital dan dipindahkan ke Institut Sains Perubatan Siswazah Sanjay Gandhi dan meninggal dunia beberapa jam kemudian. Doktor mengesahkan Yadav meninggal kerana komplikasi memakan terlalu banyak telur. – Agensi

Gara-gara cabaran makan telur, seorang lelaki maut di Jaunpur, India.