Maut ketika buat aksi untuk TikTok

PESHAWAR, PAKISTAN, 20 MEI – Seorang remaja Pakistan terbunuh ketika ia berpura-pura menembak dirinya sambil dirakam oleh rakannya untuk video TikTok, kata polis hari ini.

Hamidullah, 19, yang polis katakan terkenal dan mempunyai 8,000 pengikut dalam media sosial itu telah mengacukan pistol rakannya pada dahinya dan menarik picunya, tanpa menyedari yang senjata itu berisi peluru.

“Remaja itu mati serta-merta,” kata Badshah Hazrat, pegawai polis kanan di Lembah Swat. Klip insiden itu tidak dimuat turun dalam TikTok, polis berkata rakan-rakannya menularkannya dalam kalangan mereka yang kemudian tersebar luas. – AFP