Maut selepas disuntik vaksin, siasatan menyeluruh dilancarkan

SEOUL, 23 OKT – Perdana Menteri Korea Selatan Chung Sye-kyun pada hari ini mengarahkan siasatan menyeluruh dijalankan berhubung kematian 32 orang selepas menerima suntikan vaksin influenza, lapor agensi berita Yonhap.

Jumlah korban itu dicatatkan sehingga tengah malam semalam, tetapi pihak berkuasa kesihatan setakat ini tidak menemui sebarang kaitan antara vaksin dengan kematian berkenaan.

“Saya mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa,” kata Chung ketika mesyuarat di ibu pejabat Pusat Keselamatan dan Pencegahan Bencana.

“Pihak berkuasa perlu menyiasat secara terperinci mengenai kaitan vaksin dengan kematian dan membuat pengumuman terbuka berhubung perkembangan siasatan itu.”

Beliau berkata masyarakat masih takut walaupun pakar menafikan kes kematian itu mempunyai kaitan dengan suntikan vaksin influenza.

Semalam, kerajaan mengesahkan program imunisasi tetap akan dilaksanakan.

Ketakutan mengenai vaksin influenza mula tercetus pada Jumaat lalu apabila seorang remaja lelaki berusia 17 tahun di bandar pelabuhan barat Incheon meninggal dunia, dua hari selepas menerima suntikan berkenaan.

Kejadian serupa juga dilaporkan, kebanyakannya membabitkan warga emas. – Bernama