Maut selepas terjun bangunan yang terbakar

HOLYOKE, Mass, 3 Jan – Pihak berkuasa berkata, pasukan penyelamat telah menemui jasad ketiga daripada insiden kebakaran pada Hari Tahun Baru di sebuah bangunan pangsapuri besar di Massachusetts.

Pegawai-pegawai berkata kebakaran itu berlaku pagi Ahad di Holyoke, dan api kelihatan pada tingkat yang ketiga, keempat dan kelima.

Pihak berkuasa berkata, mangsa yang berusia 48 tahun, Maria Cartagena terjun dari tingkat keempat atau kelima dan meninggal dunia. Seorang lagi mangsa berusia 55 tahun, Jorge Munoz juga ditemui mati dalam kebakaran itu.

Pada petang Isnin, pekerja kecemasan menemui mayat orang ketiga. Pihak berkuasa sedang cuba untuk mengenal pasti mangsa dan memaklumkan kepada keluarga mangsa.

Beberapa orang yang tercedera telah dimasukkan ke hospital.

Pegawai-pegawai berkata ahli bomba mengalami kecederaan kecil di bahagian tangan.

Anggota mula meruntuhkan tingkat atas. Inspektor bangunan di bandar ini berkata bangunan tersebut berkemungkinan akan runtuh.

Punca kebakaran masih dalam siasatan. – AP