MADRID, 25 MEI – Seorang lelaki berusia 40 tahun meninggal dunia selepas terperangkap di dalam patung dinosaur besar di pinggir bandar Barcelona, kata polis Sepanyol hari ini.
Tidak jelas mengapa lelaki itu masuk ke dalam stegosaurus hiasan yang terletak di luar panggung wayang yang tidak lagi digunakan di Santa Coloma de Gramenet itu, kata seorang jurucakap pasukan polis daerah, Mossos d’Esquadra.
“Segala-galanya menunjukkan bahawa ia merupakan insiden kematian yang tidak disengajakan,” katanya kepada AFP.
Polis segera dikejarkan ke tempat kejadian pada Sabtu lalu.
Media Sepanyol melaporkan bahawa seorang bapa dan anaknya yang bermain di kawasan itu menyedari bau aneh yang dipercayai dari kawasan tersebut dan melaporkannya kepada pihak berkuasa. Anggota bomba kemudian mengeluarkan mayat lelaki itu, yang berada di dalam salah satu kaki dinosaur tersebut.
Menurut media tempatan, polis mengesyaki lelaki itu – yang dilaporkan hilang oleh keluarganya – telah memasuki patung itu untuk tidur di sana atau cuba mengambil sesuatu, seperti telefon bimbitnya dan tersekat.
Patung dinosaur itu sebelum ini ada kalanya digunakan oleh orang-orang gelandangan sebagai tempat tidur. – AFP
