Mawar Rashid kongsi berita gembira

Pelakon Mawar Rashid berkongsi berita gembira bahawa dirinya kini sedang hamil anak kedua.

Menurut Mawar atau nama sebenarnya Wan Mawar Shaputri Wan Abdul Rashid, 25, dia mengalami alahan yang sangat teruk berbanding mengandungkan anak pertamanya, Raden Muhammad Rafael.

“Alhamdulillah syukur. Doakan anak kedua Mawar membesar dengan sempurna dan selamat. Doakan Mawar juga ya. Kali ini alahan teruk sikit.”

Pelakon drama Pok Ya Cong Codei, Siti Di Hati itu berkongsi kegembiraan dan kesyukuran itu menerusi laman Instagram miliknya baru-baru ini.

Ruang komen perkongsian tersebut dipenuhi dengan ucapan tahniah daripada warganet yang juga mendoakan agar Mawar dan anak dalam kandu-ngannya sentiasa sihat serta selamat.

Dalam pada itu, Raf ketika dihubungi mStar memberitahu dia dan Mawar baru sahaja mengetahui berita gembira itu memandangkan ujian kehamilan isteri sebelum ini menunjukkan negatif. Raf bagaimanapun, belum bersedia mendedahkan usia kandungan isterinya.

“Sebenarnya, kami baru sahaja tahu (hamil). Masa Mawar periksa guna ujian kehamilan, keputusannya negatif tapi selepas jumpa doktor, barulah disahkan hamil.

“Buat masa sekarang, Rafael memang Mawar yang selalu jaga tapi nanti kalau dia tak larat sangat, barulah saya akan ambil alih tugas tersebut,” ujarnya. – Agensi

Mawar Rashid meminta peminat mendoakan dirinya dan kandungannya membesar dengan sempurna dan selamat. – Agensi