Max Verstappen juara ‘perlumbaan terpendek F1’

BELGIUM, 30 OGOS – Juara dunia, Lewis Hamilton menyifatkan aksi perlumbaan Grand Prix Belgium yang dihentam hujan lebat sebagai ‘sandiwara’ dan ‘dipengaruhi wang’ selepas Max Verstappen diumumkan sebagai juara dalam perlumbaan dengan hanya dua pusingan.

Dalam perlumbaan terpendek dalam sejarah hanya 14 kilometer dan semua pelumba berada di belakang kereta keselamatan, grand prix itu tergendala selama tiga setengah jam.

Namun selepas dua pusingan, perlumbaan ditamatkan apabila keadaan dianggap terlalu berbahaya di trek Ardennes yang mana pelumba Formula 2, Anthoine Hubert meninggal dunia pada 2019.

“Ia tentang wang. Hanya dua pusingan. Ini semua pengaruh wang,” kata Hamilton yang menamatkan perlumbaan di kedudukan ketiga di belakang Verstappen dan George Russell untuk Williams.

“Oleh kerana setiap orang mendapat semula wang, saya rasa peminat juga perlu mendapatkan wang mereka juga kerana mereka tidak dapat
melihat apa yang mereka harapkan dan bayar.

Max Verstappen semasa meraikan trofi kemenangannya di podium setelah mendapat tempat pertama di GP Belgium di litar Spa-Francorchamps kelmarin. – AFP

“Saya suka berlumba dalam hujan tetapi hari ini berbeza. Anda tidak boleh melihat kereta di depan anda. Hujan sangat lebat.

“Ia musibah di landasan. Anda tidak boleh melihat jarak lima meter di depan anda, kereta di depan hilang.”

Hamilton kini mendahului Verstappen dalam perebutan gelaran dengan hanya tiga mata, meneruskan kritikan.

“Hari ini satu sandiwara,” kata pelumba berusia 36 tahun itu dalam Instagram.

“Satu-satunya orang yang kalah adalah peminat. Kami tidak dibenarkan berlumba hanya satu alasan dan satu alasan saja.

“Kami tidak seharusnya disuruh berhenti, tidak mempertaruhkan pelumba dan yang penting kembalikan wang peminat yang menjadi nadi dalam sukan kita.” – AFP