Maxis, AWS pacu penggunaan teknologi awan

KUALA LUMPUR, 7 NOV – Maxis Bhd berhasrat membantu mempercepatkan penggunaan teknologi awan untuk perniagaan di Malaysia menerusi kerjasama dengan Amazon Web Service (AWS), platform awan yang komprehensif dan meluas penggunaannya di dunia.

Maxis akan menyediakan teknologi awan melalui rangkaian mudah alih dan rangkai-an tetap 4G yang digabungkan, memudahkan perjalanan transformasi digital untuk perniagaan dan merealisasikan manfaat dalam meningkatkan produktiviti dan prestasi.

Dalam kenyataan hari ini, Maxis berkata ia akan membina kemahiran yang mendalam terhadap AWS menerusi program latihan, akreditasi dan pensijilan yang komprehensif, untuk meningkatkan keupayaan dan responsif kepada pelanggannya.

“Perniagaan di Malaysia akan mempunyai akses kepada penyelesaian awan dalam kelas terbaik, serta kumpulan pakar terbesar di negara ini yang boleh membantu mereka untuk keseluruhan perjalanan mereka kepada teknologi awan.

“Kami bersungguh-sungguh mahu membantu mempercepatkan penggunaan teknologi awan di Malaysia dan memperkasakan perniagaan di sini menjadi pelengkap terbaik kepada industri 4.0 dan ekonomi digital,” kata Ketua Pegawai Perniagaan Perusahaan Maxis Paul Mcmanus.

Maxis akan membina Pusat Perniagaan Maxis Cloud yang akan menawarkan kepada pelanggan Perkhidmatan Profesional dan Terurus dengan kakitangan yang dilatih oleh AWS bagi meningkatkan ketangkasan perniagaan dan mendorong hasil perniagaan yang lebih baik.

Kedua-dua syarikat juga akan bekerjasama dalam mempercepatkan penggunaan teknologi awan dan membangunkan keupayaan penyelesaian industri untuk kepentingan perniagaan di Malaysia. – Bernama