LONDON, 26 April – Perdana Menteri Britain Theresa May hari ini mengadakan rundingan pertama beliau dengan perunding-perunding utama Brexit EU, ketika gabungan itu mengeraskan pendiriannya sebelum sidang mesyuarat untuk membentangkan ‘garisan merahnya’.
May menerima Presiden Suruhanjaya Eropah Jean –Claude Juncker dan ketua perunding Michel Barnier di Downing Street bagi rundingan persemukaan pertama sejak beliau mendedahkan proses bersejarah bagi pengunduran dalam tempoh dua tahun.
Pertemuan itu diadakan ketika EU telah mengukuhkan strateginya, dengan membuat tuntutan baru berhubung perkhidmatan kewangan, imigresen dan tuntutan yang mesti dijelaskan oleh Britain sebelum menamatkan keanggotaannya selama 44 tahun dalam gabungan itu.
Draf garis pandu rundingan yang terbaru, yang dipersetujui Isnin lalu oleh Barnier dan para diplomat Eropah, merujuk kepada rundingan sukar berbulan-bulan sebelum EU berusaha memastikan Britain tidak mendapat urusan lebih baik di luar gabungan dari di dalam.

Menurut dokumen itu yang diperolehi oleh AFP, 27 buah lagi negara EU akan mendapatkan tanggungjawab Britain bagi kos gabungan itu bagi tempoh sekurang-kurangnya setahun selepas ia meninggalkan gabungan itu dalam tahun 2019, lebih lama dari yang dicadangkan sebelumnya.
Britain juga perlu memberikan warga-warga EU status penduduk tetap selepas tinggal di sana selama lima tahun, dalam cabaran bagi kerajaan Britain, yang telah berikrar akan mengehadkan imigrasi.
Dan garis pandu itu mencadangkan industri kewangan dominan Britain tidak akan semestinya terikat dengan mana-mana urusan perdagangan akan datang dengan EU dan ia mesti juga mengikut peraturan gabungan itu jika ia mahu kemudahan memasuki pasaran EU.
May pula mahu mengukuhkan mandatnya bagi rundingan Brexit dengan mengadakan pilihan raya awal pada 8 Jun dengan tinjauan pendapat mengatakan parti Konservatif beliau akan kembali dengan majoriti yang bertambah.
Beliau komited untuk mengeluarkan Britain dari pasaran tunggal Eropah itu bagi menamatkan pergerakan bebas warga-warga EU ke Britain, tetapi berkata beliau mahu membentuk usaha sama baru dengan gabungan itu. – AFP