May perlukan masa

LONDON, 11 Feb – Kerajaan Britain memerlukan tempoh masa yang lama bagi memeterai konsesi Kesatuan Eropah (EU) mengenai Brexit sekali gus melepasi parlimen dan mengelakkan daripada pengunduran yang huru-hara daripada blok tersebut pada 29 Mac nanti.

Sektor perniagaan dan juga kerajaan kini dalam keadaan terdesak kerana Britain hanya tinggal beberapa minggu sahaja lagi untuk berundur daripada projek Eropah selepas 46 tahun dan masih belum ada penyusunan yang kukuh yang sedang dilaksanakan.

Parlimen United Kingdom (UK) bulan lalu sebulat suara menolak perjanjian Brexit Perdana Menteri Theresa May yang dimeterai dengan 27 pemimpin EU.

Ahli-ahli parlimen dijangka akan membuat undian mengenai pilihan Brexit Britain pada 14 Februari. Tetapi anggota kabinet May kelmarin berikrar akan mengadakan undian dua minggu kemudian, sebagai langkah untuk memberikan masa kepada pemimpin tersebut untuk mengadakan rundingan bersama EU.

Pertemuannya di Brussels pada Khamis lalu tidak mencapai kesepakatan dan kebimbangan mengenai senario ‘tidak ada perjanjian’ sedang meningkat.

Menteri perumahan, James Brokenshire kelmarin mendesak bahawa pihak kerajaan mempunyai strategi yang jelas dan susur masa yang bertujuan untuk mencapai perjanjian yang boleh diluluskan oleh parlimen Britain.

“Apa yang sudah tentu adalah perjanjian tersebut dan itu adalah sebab kenapa kami mahu orang lain menyatakan sokongan terhadap proses yang ada sekarang,” beritahu Brokenshire kepada BBC.

Beliau berikrar untuk mengadakan undian baharu kepada parlimen mengenai pilihan Britain pada 27 Februari jika May tidak kembali dengan konsesi baharu.

Dalam undian pada minggu ini, para penggubal undang-undang dijangka memberikan pendapat mengenai pindaan yang berkemungkinan akan menghadkan pilihan May dan memberikan parlimen keterbukaan dalam menyatakan mengenai proses Brexit. – AFP

Theresa May ketika menghadiri mesyuarat bersama Majlis Eropah di Brussels baru-baru ini. Kerajaan Britain memerlukan tempoh masa yang lama bagi memeterai konsesi EU mengenai Brexit. – AP