May teruja rundingan capai kemajuan

BRUSSELS, 21 Feb – Perdana Menteri Theresa May berkata beliau menyaksikan ‘kemajuan’ dalam rundingan bersama Kesatuan Eropah (EU) semalam ketika beliau cuba untuk menarik konsesi berhubung dengan syarat pengunduran Britain, tetapi sudah dijangkakan tidak mencapai kejayaan.

Dengan kurang daripada enam minggu sehingga Brexit, May mengadakan pertemuan dengan presiden Suruhanjaya Eropah Jean-Claude Juncker berharap untuk perkembangan dalam isu ‘sekatan Ireland’ selepas para pemimpin EU menekankan, mereka tidak akan mengadakan rundingan semula.

Kebimbangan meningkat di mana Britain berkemungkinan berundur tanpa perjanjian dan timbulnya drama baharu sebelum May berlepas ke Brussels apabila tiga ahli parlimen daripada parti Konservatif meletak jawatan bagi membantah mengenai Brexit dan menyertai kumpulan penggubal undang-undang bebas.

Menyebut mengenai risiko Brexit yang sukar, agensi penarafan, Fitch kelmarin memberi amaran bahawa ia berkemungkinan boleh menjejaskan Britain, sementara pound merosot berbanding dolar AS.

Kenyataan gabungan daripada May dan Juncker menyifatkan mesyuarat mereka itu sebagai ‘konstruktif’, mencapai sesuatu yang lebih positif berbanding pertemuan mereka sebelum ini.

“Kedua-dua pemimpin itu bersetuju bahawa rundingan itu adalah konstruktif dan mereka mengesa pihak-pihak berkepentingan untuk terus meneroka pilihan dengan semangat yang positif.

Secara berasingan, May berkata beliau menekankan keperluan untuk perubahan keterikatan yang sah terhadap sekatan meskipun EU menolak.

“Kami bersetuju bahawa usaha untuk mencari jalan penyelesaian akan dilakukan secara berterusan dan ia adalah untuk kepentingan bersama apabila United Kingdom keluar daripada EU dengan cara yang sepatutnya. Kami telah menyaksikan kemajuan,” menurut May.

May dan sejumlah 27 pemimpin EU meluluskan perjanjian pengunduran Brexit semasa sidang kemuncak pada 25 November tahun lalu tetapi parlimen pemimpin Britain itu sendiri menolaknya pada 15 Januari lalu. – AFP

May dan Jean-Claude Juncker semasa tiba di ibu pejabat EU di Brussels untuk mengadakan mesyuarat mengenai Brexit kelmarin. – AFP