May usulkan ‘tawaran’ Brexit terakhir

LONDON, 19 Mei – Perdana Menteri Britain, Theresa May berkata hari ini beliau bersedia untuk mengemukakan ‘tawaran berani’ kepada ahli-ahli parlimen (MP) dalam percubaan terakhir untuk memujuk mereka menyokong perjanjian Brexit beliau.

May berkata apabila beliau mengemukakan Rang Perjanjian Penarikan Diri di parlimen pada awal bulan depan, ia akan datang bersama satu pakej langkah-langkah baharu yang diharapkan oleh beliau dapat memperoleh sokongan majoriti.

“Saya masih percaya terdapatnya majoriti dalam parlimen yang dapat dipujuk untuk meninggalkan rundingan dengan satu perjanjian,” tulis May dalam akhbar The Sunday Times.

Ahli Parlimen sudah tiga kali menolak perjanjian yang dicapai oleh May dengan Brussels, memaksa tarikh pengeluaran Britain dari EU ditukar daripada 29 Mac kepada 12 April dan sekali lagi kepada 31 Oktober.

Rang undang-undang diperlukan untuk mengesahkan perjanjian pemisahan yang dicapai dengan Kesatuan Eropah.

Pada Khamis, May bersetuju untuk menetapkan satu jadual masa untuk persaraannya berikutan pengundian dalam minggu bermula 3 Jun, tanpa mengira sama ada MP menyokong perjanjian beliau untuk kali keempat.

Dipercayai beliau akan mencetuskan satu cabaran untuk kepimpinan Parti Konservatif sebaik sahaja rang sama ada gagal atau berjaya melengkapkan kesemua peringkatnya dalam parlimen.

“Apabila Rang Perjanjian Tindakan Keluar dikemukakan kepada Ahli Parlimen, ia akan mewakili satu tawaran baharu kepada Ahli Parlimen dalam Dewan Rakyat, dengan pakej langkah baharu yang saya percaya boleh menerima sokongan baharu,” beritahunya kepada akhbar.

“Apa sahaja keputusan undi, saya tidak hanya meminta Ahli Parlimen memikirkannya sekali lagi. Sebaliknya, saya akan meminta mereka melihat pada perjanjian baharu dengan pandangan baharu, dan memberikan sokongan mereka.”

Rang undang-undang dijangka memasukkan langkah baharu untuk melindungi hak pekerja, pengaturan kastam akan datang dengan EU, dan penggunaan teknologi untuk mengelak keperluan mengadakan kawalan sempadan di antara United Kingdom dan Republik Ireland, anggota negara EU dan satu-satunya negara jiran UK.

May dijangka mengemukakan butir-butir cadangannya dalam satu ucapan pada akhir bulan ini. – AFP