Maya diintai ramai jejaka

Lebih sedekad hidup menyendiri, aktres Maya Karin mengakui sedang berkawan dengan beberapa lelaki yang berpotensi untuk dijadikan teman hidup.

Enggan mendedahkan secara terperinci gerangan jejaka yang dimaksudkan, Maya atau nama sebenarnya, Maya Karin Roelcke memaklumkan, salah seorang daripadanya kini menetap di Australia.

“Saya ada beberapa calon dan sedang berkawan. Ada seorang berasal dari Australia dan kerap menghubungi saya menerusi aplikasi Facetime.

“Hanya lelaki Australia itu sahaja menetap di luar negara, manakala selebihnya orang Malaysia,” katanya pada sesi Instagram (IG) Live Bersama Penggiat Seni, menerusi topik Aku Pelakon Terbaik, semalam.

IG Live Bersama Penggiat Seni anjuran Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem (FINAS) diadakan sempena Festival Filem Malaysia ke-31 (FFM31) yang akan berlangsung pada 10 Disember ini.

Mengangkat topik, Aku Pelakon Terbaik, sesi itu dikendalikan moderator yang juga dua editor hiburan, Saharudin Mohd Musthafa dan Roslen Fadzil.

Lebih sedekad hidup menyendiri, Maya Karin mengakui sedang berkawan dengan beberapa lelaki yang berpotensi untuk dijadikan teman hidup. – Agensi

Meskipun sudah bersedia menerima cinta baharu, namun, tegas pelakon yang terkenal watak pontianak menerusi filem Pontianak Harum Sundal Malam itu, fokusnya masih kepada kerjaya seni.

“Sekarang saya sedang sibuk dengan pementasan teater muzikal. Banyak benda yang perlu saya fokus seperti sesi latihan dan mendalami skrip.

“Justeru, buat masa ini, keutamaan saya adalah kerja,” tegas pemenang trofi Aktres Terbaik Festival Filem Malaysia 2008 dan 2012 ini.

Maya pernah mendirikan rumah tangga dengan seorang guru, Steven David Shorthose atau nama Islamnya, Muhammad Ali Abdullah pada 2008, namun, perkahwinan hanya bertahan selama dua tahun.

Sejak bercerai, soalan jodoh sering diajukan kepada penyanyi yang pernah popular menerusi lagu Erti Cinta ini, namun, hingga hari ini Maya masih belum menemui pengganti.

Menerusi temu bual yang berlangsung selama dua jam minit itu, pelakon berdarah kacukan Melayu-Jerman ini juga mendedahkan, mengalami gangguan kebimbangan (anxiety disorder) sejak lapan tahun lalu.

Memperincikan perkara itu, Maya memberitahu gara-gara penyakitnya itu, dia terlepas peluang membintangi teater Puteri Gunung Ledang The Musical (PGLTM) dan filem yang menampilkan lakonan Henry Golding berjudul Crazy Rich Asian.

“Penyakit ini dikesan sekitar lapan tahun lalu dan menurut ayah, ini berikutan sikap saya yang terlalu memaksa diri untuk bekerja dan kesibukan sebagai pelakon.” – Agensi