Mayat anak damit bertali pusat dijumpai di tapak pelupusan sampah

TAWAU, 13 Mac – Seorang anak damit lelaki yang masih bertali pusat ditemukan mati di tapak pelupusan sampah Bukit Gemuk, Jalan Bombalai dekat sini, hari ini.

Anak damit tidak berpakaian itu dijumpai orang awam yang sedang mencari barang kitar semula pada jam 5.29 pagi sebelum dimaklumkan kepada pihak polis pada jam 6.59 pagi.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Fadil Marsus berkata pihaknya yang menerima aduan itu bergegas ke lokasi dan pemeriksaan awam mendapati terdapat kesan kebiruan pada badan mayat.

“Anak damit tersebut dianggarkan (telah) mati lebih kurang tiga hari lalu dan tiada saksi melihat anak damit tersebut dibuang,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Tapak pelupusan itu berkeluasan empat hektar dan merupakan kawasan buangan sampah untuk Tawau serta kerap dikunjungi pemungut sampah bagi mencari barang-barang yang boleh dikitar semula.

Fadil berkata siasatan masih diteruskan dan mayat anak damit itu dihantar ke Hospital Tawau untuk bedah siasat. – Bernama